Tidakkah Beruntung Menjadi Seorang Wanita Islam?
“Keistimewaan yang Allah SWT berikan kepada wanita
terlalu banyaknya”. “Kasihnya Allah SWT kepada wanita!” Itulah kata-kata yang
paling mudah digunakan untuk menggambarkan‘layanan’ istimewa terhadap wanita
dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme
atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana
Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik
pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan
pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan
serta layanan baik yang Allah SWT tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.
Namun, ramai wanita yang tidak memahami hal ini. Lantaran
itu kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri dan merasa terkongkong dengan
amalan atau larangan tertentu yang digunakan ke atas wanita Islam seperti
amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas, poligami, larangan wanita menjadi
pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan
atau larangan yang dianggap sangat menindas wanita. Walhal kalau dikaji setiap
satu amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan
kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri.
Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh
pejuang-pejuang hak wanita ialah mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan
dikenakan ke atas mereka. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia
sendiri banyak membuat peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini, atas
alasan hendak menjaga keselamatan diri atau masyarakat awam. Contohnya, dalam
soal lalu-lintas, terlalu banyak peraturan dan larangan yang manusia buat
seperti jangan memandu melebihi had laju, tidak boleh letak kereta di garisan kuning,
mesti berhenti apabila ada isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu selepas
pukul 7 malam dan berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang sekecil ini pun perlu
banyak peraturan dan larangan, sudah tentulah dalam bidang kehidupan lebih
memerlukan lagi, dan lebih-lebih lagilah kalau skopnya itu jauh lebih luas
iaitu untuk keselamatan dunia dan Akhirat.
Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita.
Segala suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain
dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan
sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi, atas hujah dan alasan apa
dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan
olehTuhan kepada wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak.
1 ) Gelaran Bagi `Isteri’ Di Dalam
Al-Quran
Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk
menunjukkan suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam
bahasa- bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri
menggunakan dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris,
perkataan untuk suami ialah `husband‘ manakala perkataan untuk isteri
ialah `wife‘. Sementara dalam bahasa Perancis pula,
perkataan untuk suami ialah `mari‘ manakala perkataan `femme‘
untuk isteri.
Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri
tidak disebut dua perkataan yang berbeza `zaujuh‘ dan `zaujati‘.
Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu `zaujuh‘
yang bermakna `pasangan‘. Islam melihat suami dan isteri adalah
pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai
sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di
dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita
mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah
kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama
lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih hebat
daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata kiri.
Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti
yang tercatat di dalam Al Quran.
Namun, gelaran zaujuh ini hanya
diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang
tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh. Contohnya, isteri
Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut ‘imraah‘,
kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada
suaminya.
2 ) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap
Wanita
Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang
menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:
a. “Syurga di bawah telapak kaki ibu.” Apakah
wanita tidak rasa mulia dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih
perkataan “di bawah telapak kaki” dan bukan “di dalam
tangan” atau “di sisi” seorang ibu? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya
seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat
memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan
meng’hamba’kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu
tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di
dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan
sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.
b. “Orang yang paling baik dari antara kamu
itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling
baik dari antara kamu kepada isi rumahku.”
c. “Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan
melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan
melainkan orang yang hina.” (Hadis riwayat Ibnu `Asakir)
d. “Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu
dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka
bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah
menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”
e. “Janganlah seorang mukmin lelaki membenci
kepada seorang (isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya
yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang is suka.” (Hadis
riwayat Ahmad dan Muslim)
Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang
diberi oleh Islam. Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak
perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan
oleh kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan
sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas.
3 ) Bahagian Tubuh Wanita
Dianugerahkan Nama Yang Mulia
Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nana
yang begitu mulia iaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama
Tuhan, yang bermaksud `Maha Penyayang‘. Sudah tentulah Tuhan tidak akan
memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi- Nya. Sudah
tentu Tuhan akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang
begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang semulia ini kepada bahagian tubuh
lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah
yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga
ciptaanTuhan dan memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan.
Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Tuhan
kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa
boleh nafikan kepentingan rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah
rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akanmulianya
wanita di sisi Tuhan.
4 ) Diberi Pahala Yang Berterusan
Wanita disebut `kurang dari sudut agama‘, tetapi
ini bukan bermaksud yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya.
Mereka cuma kurang bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di
waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas
itu, Tuhan tetap memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat bersabar
dengan keadaannya yang tidak selesa itu.
Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak.
Sudahlah digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir,
diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas.
Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin
banyaknya pahala yang Tuhan sediakan untuknya.
Aduh! Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita.
Maha Baiknya Tuhan kepada golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir
ini! Kalaulah wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran-
ganjaran yang Tuhan berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka
akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu
diperjuangkan oleh seorang wanita mukminah. Yang Tuhan tawarkan itu pun sudah
terlampau banyaknya.
Oleh: Azlan Mohamad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan