SABAR
DAN TAQWA KUNCI HADAPI DENGKI DAN IRI HATI
Sungguh kita ketahui bahawa manusia hidup bermacam-macam
karenah dan ragam. Kesemuanya tidak sempurna untuk melengkapi keperluan hidup
masing-masing. Ada yang tidak berpuas hati terhadap kejayaan orang lain, dan
ada pula yang cemburu buta terhadap kesenangan yang dilalui individu lain.
Maka, wujudlah perasaan dengki dan iri hati dalam setiap diri manusia itu.
Iri hati bermaksud perasaan tidak puas hati terhadap diri
sendiri kerana melihat kesenangan orang lain. Hasad dengki pula diertikan
sebagai suatu sikap tidak senang diatas kesenangan, kenikmatan atau kelebihan
yang terdapat dalam diri orang lain.
Firman Allah s.w.t dalam surah An-Nisa’ ayat 54
bermaksud, “Adakah patut mereka dengki kepada manusia atas nikmat yang Allah
s.w.t berikan kepada mereka daripada kurnia-Nya?” Orang yang bersifat hasad
dengki jiwanya sentiasa merasa serba kekurangan dengan apa yang dimilikinya.
Ini kerana dia tidak pernah merasa bersyukur di atas apa yang dimilikinya, sebaliknya
dia mewujudkan perasaan dengki dan iri hati terhadap apa yang dimiliki oleh
orang lain.
Dalam Islam, sifat hasad dengki adalah tercela dan
tergolong dalam amalan-amalan orang munafik. Banyak keburukan yang diperolehi
akibat daripada perbuatan dengki dan iri hati ini kerana sifat dengki dan iri
hati boleh mengakibatkan perpecahan ummah. Sifat ini juga boleh mewujudkan
perasaan dendam, berprasangka buruk dan permusuhan terhadap individu lain.
Allah berfirman yang bermaksud, “Yang paling aku takut dari
apa yang aku takut pada umatku ialah yang banyak harta pada mereka, lalu mereka
saling berdengki dan berbunuh-bunuhan.” (HR. Ibnu Abid Dunya an Amir
Al-Asy’ari)
Islam mengharuskan umatnya mempunyai perasaan dengki
terhadap orang lain kepada dua perkara sahaja, iaitu terhadap ilmu dan harta
kekayaan yang dimiliki oleh orang lain. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari
Ibnu Umar, Rasulullah saw bersabda, “Tidak ada dengki selain daripada dua
perkara, iaitu orang yang diberikan harta oleh Allah swt lalu dikuasainya harta
itu pada kebenaran dan orang yang diberikan ilmu oleh Allah swt lalu diamalkan
ilmu itu dan diajarkan kepada manusia.”
Dengki juga hanya dimiliki orang yang berjiwa rendah dan
sifat itu mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang
dimiliki orang lain. Di dalam setiap diri manusia, sememangnya mempunyai
keinginan bersaing untuk mendapat nikmat yang sama atau lebih. Sifat ingin
bersaing secara sihat adalah halal. Ia dikenali sebagai ghibtah. Seseorang yang
menyedari dirinya serba kekurangan, apabila melihat orang lain maju dan
mendapat lebih nikmat maka ia akan berusaha bersungguh-sungguh seperti yang
dilakukan oleh orang lain. Inilah sifat bukan dengki yang sebenarnya.
Menurut pakar perunding motivasi dan keluarga, Datuk Dr
Hj Fadzilah Kamsah dalam bukunya yang bertajuk “Menerobos Sempadan Diri”,
antara tips motivasi yang diajar oleh beliau ialah kunci kemenangan adalah
sabar.
Benar sekali kata-kata beliau kerana untuk mecapai suatu
kemenangan bukanlah mudah, malah kita harus bersabar dan terus berusaha yang
terbaik demi mencapai sebuah kemenangan.
Apa yang saya ingin kupaskan di dalam ruangan ini, untuk
menghadapi perasaan hasad dengki adalah perbanyakkan kesabaran dan tingkatkan
ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Ketaqwaan kepada Allah s.w.t menuntut kita agar
mempunyai sifat sabar sepanjang masa. Mustahil seseorang manusia itu mencecah
kaki kegerbang ketaqwaan tanpa mempunyai kesabaran yang tinggi. Ini kerana
taqwa bererti seseorang mestilah tunduk dan patuh kepada suruhan Allah serta
menjauhi segala larangan-Nya. Kekuatan dalam kesabaran itu amatlah penting
dalam melaksanakan perintah dan larangan-Nya.
Sabar ialah ketahanan rohani dan jasmani dalam
melaksanakan perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sifat ini
sememangnya digalakkan oleh Islam. Sabar dalam ketabahan menghadapi kesusahan
dan kecekalan untuk mengatasi masalah. Dalam setiap kehidupan, masalah dan
cabaran merupakan asam garam kehidupan yang tidak dapat kita elakkan.
Sesungguhnya manusia tidak terlepas daripada malapetaka
dan kesusahan dalam kehidupan seharian. Oleh itu bersabarlah dan semoga kita
semua dirahmati Allah serta diberi kemenangan di dunia dan akhirat. Rasulullah
s.a.w bersabda dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah r.a. bermaksud, “Tiada
seorang muslim pun yang tidak mengalami penderitaan, keseksaan, kebimbangan,
dukacita, kemelaratan dan kesedihan sehingga cucukan duri yang mengenainya
melainkan dihapuskan oleh Allah sebahagian daripada kesalahannya.”
Sifat sabar sungguh mulia sekali untuk dihayati oleh kita
semua kerana ia dimiliki oleh para Rasul. Kesabaranlah yang membimbing
seseorang untuk mencapai kehidupan yang lebih baik setelah mengalami kesedihan,
kehampaan, kekecewaan dan sebagainya.
Kita selalu mendengar dan membaca kata-kata ini,
“Kadang-kadang, Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat, kita
menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya sinar itu, rupa-rupanya Allah nak
hadiahkan kita pelangi.”
Dari kata-kata di atas jelas menunjukan bahawa Allah
tidak memberi kelebihan kepada kita dalam suatu perkara, tetapi Allah memberi
kita kelebihan dalam sesuatu perkara yang lain.
Musibah yang terjadi itu adalah ujian dari-Nya. Yakinlah
dengan Allah, dan yakinlah dengan janji-Nya. Dalam Al-Quran ada menyatakan
dalam surah Al-Baqarah ayat 286, “Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang
melainkan apa yang terdaya olehnya”
Tidak rugi kepada orang yang bersabar menghadapi cercaan
dan hinaan daripada orang lain kerana Allah s.w.t telah meletakkan di tempat
yang tinggi darjat orang yang bersabar, “Katakanlah (wahai Muhammad akan
firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai
hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah)
orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar
di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu
ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan
disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah Az-Zumar: Ayat 10)
Kadangkala kita mengeluh akan kehidupan yang kita jalani
dan kadangkala kita tidak berada di jalan yang lurus kerana sifat-sifat syaitan
yang melemahkan azam dan memesongkan kita dari jalan yang lurus seterusnya
menimbulkan rasa iri hati dan hasad dengki yang telah menutup hati kita
daripada memperoleh hidayah Allah s.w.t.
Semakin kotor hati, semakin kusam dan pekat pula hati
kita yang dipenuhi dengan kegelapan. Tanpa cahaya, nur dan hidayah Allah s.w.t
yang membimbing kita ke jalan yang lurus, maka kotorlah hati kita dengan sifat
yang tercela lagi hina ini.
Justeru, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan
kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Beranilah beramal dengan sifat yang terpuji dengan
bersabar di atas setiap ujian. Laluilah onak-duri kehidupan yang berliku dengan
kesabaran dan ketaqwaan kepada-Nya. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat
kepada kita di dunia dan di akhirat.
Sesungguhnya hasad dengki dan iri hati yang membawa
kepada kerosakan dan bala tidaklah dihalalkan. Yang dituntut oleh agama ialah
iri hati supaya kita turut berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh nikmat,
kesenangan dan kelebihan dari Allah s.w.t dan menggunakannya di jalan yang
diredhai-Nya.
By: Siti Nur Syuhadda Azami
Tiada ulasan:
Catat Ulasan