Rabu, 20 Jun 2012
Adakah Aku Masuk Syurga
Daripada Abi Abdillah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Bagaimana pendapatmu jika aku melakukan solat-solat fardu (lima waktu), berpuasa pada bulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram serta tidak menambahkan selain itu sedikitpun, adakah aku akan masuk ke dalam syurga? Nabi SAW menjawap: Ya.”
(Riwayat Muslim)
Makna mengharamkan yang haram adalah menjauhinya sedangkan pula menghalalkan yang halal ertinya melaksanakannya dengan keyakinan akan kehalalannya, untuk ke syurga adalah jelas dan mudah kerana Allah telah menetapkan bagi seseorang batasan-batasan, amalan-amalan dan larangan-larangan yang terkandung dosa jika mengingkarinya dan beroleh pahalajika melaksanakan segala perintah Allah Ta’ala , apabila seseorang itu memilih jalan yang di redai Allah syurga baginya, InsyaAllah.
Apa yang paling penting adalah iltizam seseorang itu dengan segala apa yang telah di fardukan dan meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh agama Islam, sesungguhnya Allah SWT tidak meletakkan kesusahan dan bebanan yang tidak mampu dipikul oleh hamba-hamba Nya, sepertimana firman Allah Ta’ala didalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud: ” Allah menghendaki yang mudah dan tidak menghendaki yang sukar bagi kamu.” (al-Baqarah: 185)
Sememangnya jika kita mengharapkan kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat maka kita hendaklah menjadi TAMAK untuk menempati kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT, tidak meninggalkan amalan sunat dan tidak pula mendekati perkara yang makruh. Demikian juga tidak seharusnya membeza-bezakan antara amalan yang dituntut sama ada yang wajib mahupun yang sunat sebagaimana juga kita tidak akan membeza-bezakan diantara perkara yang jelas dicegah iaitu haram dengan perkara yang tidak digalakkan seperti makruh.
Antara Sifat-Sifat Syurga Dan Ahlinya
Syurga adalah destinasi terakhir golongan orang yang beriman kepada Allah Ta’ala, ia di idalam-idamkan setiap Muslim.
Abu Laits meriwayatkan dengan sanadnya, daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Ya Rasulullah dari apakah dibuat syurga itu? Jawabnya: Dari Air. Kami bertanya: Beritakan tentang bangunan syurga! Jawabnya yang bermaksud: Satu bata dari emas dan satu bata dari perak dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari za’faran, kerikilnya mutiara dan yakut, siapa yang masuk ke dalamnya senang tidak susah, kekal tidak mati tidak lapuk pakaiannya, tidak berubah mukanya.
Abu Hurairah r.a. berkata: Demi Allah yang menurunkan kitab pada Nabi Muhammad s.a.w.Sesungguhnya ahli syurga tiap saat bertambah elok cantiknya, sebagaimana dahulu di dunia bertambah tua.
Anas bin Malik r.a. berkata: Jibril datang kepada Nabi s.a.w. membawa cermin putih yang ditengahnya ada titik hitam, maka Nabi s.a.w. bertanya kepada Jibril: Apakah cermin yang putih ini? Jawabnya: Ini hari Jumaat dan titik hitam ini saat mustajab yang ada di hari Jumaat, telah dikurniakan untukmu dan umatmu, sehingga umat-umat yang sebelummu berada di belakangmu, iaitu Yahudi dan nashara (Kristian) dan ada saat di hari Jumaat jika seorang mukmin bertepatan berdoa untuk kebaikan pada saat itu pasti ia akan diterima oleh Allah atau berlindung kepada Allah dari suatu bahaya pasti akan dihindarkannya dan hari Jumaat di kalangan kami (malaikat) dinamakan yaumul mazid (hari tambahan).
Nabi s.a.w. bertanya: Apakah yaumul mazid itu? Jawab Jibril: Tuhan telah membuat lembah di syurga jannatul firdaus, di sana ada anak bukit dari misik kasturi dan pada tiap hari Jumaat di sana disediakan mimbar-mimbar dari nur (cahaya) yang diduduki oleh para nabi dan ada mimbar-mimbar dari emas bertaburan permata yaqut dan zabarjad diduduki para siddiqin suhada’ dan solihin, sedang orang-orang ahli ghurof (yang di bilik syurga) berada di belakang mereka di atas bukit kecil itu berkumpul menghadap kepada Tuhan untuk memuja muji kepada Allah, lalu Allah berfirman: Mintalah kepadaKu. Maka semua minta (Kami mohon keredaanMu). Jawab Allah: Aku telah reda kepadamu, sehingga kamu Aku tempatkan di rumahKu dan Aku muliakan kamu, kemudian Allah menampakkan kepada mereka, sehingga mereka dapat melihat zatNya, maka tidak ada hari yang mereka suka sebagaimana hari Jumaat, kerana mereka merasa bertambahnya kemuliaan kehormatan mereka.
Dalam lain riwayat: Allah menyuruh kepada Malaikat; Berikan makan kepada para waliKu,maka dihidangkan berbagai makanan maka terasa pada tiap suap rasa yang lain dari semula, bahkan lebih lazat, sehingga bila selesai makan, diperintahkan oleh Allah: Berikan minum kepada hamba-hambaKu, maka diberi minuman yang dapat dirasakan kelazatannya pada tiap teguk dan ketika telah selesai maka Tuhan berfirman: Akulah Tuhanmu telah menepati apa yang Aku janjikan kepadamu dan kini kamu boleh minta nescaya Aku berikan permintaanmu.
Jawab mereka. Kami minta redaMu, Kami minta redaMu (dua tiga kali). Dijawab oleh Allah:Aku reda kepadamu, bahkan masih ada tambahan lagi daripadaKu, pada hari ini Aku muliakan kamu dengan kehormatan yang terbesar dari semua yang telah kamu terima.
Maka dibukakan hijab hingga mereka dapat melihat zat Allah yang Maha Mulia sekehendak Allah, maka segera mereka bersujud kepada Allah sekehendak Allah, sehingga Allah menyuruh mereka: Angkatlah kepalamu sebab kini bukan masa beribadat.
Maka di situ mereka lupa pada nikmat-nikmat yang sebelumnya dan terasa benar bahawa tidak ada nikmat lebih besar daripada melihat zat Allah yang mulia. Kemudian mereka kembali maka semerbak bau harum dari bawah arsy dari bukit kasturi yang putih dan ditaburkan di atas kepala mereka di atas ubun-ubun kuda mereka, maka apabila mereka kembali kepada isteri-isterinya terlihat bertambah indah lebih dari semula ketika mereka meninggalkan mereka sehingga isteri-isteri mereka berkata: Kamu kini lebih elok dari yang biasa.
Abul-Laits berkata: Terbuka hijab, bererti hijab yang menutupi mereka untuk melihatNya. Dan erti nasihat kepadaNya, yakni melihat kebesaran yang belum pernah terlihat sebelumnya, tetapi kebanyakan ahli ilmu mengertikan: Melihat zat Allah tanpa perumpamaan.
Ikrimah berkata: Ketangkasan ahli syurga bagaikan orang umur 33 tahun lelaki dan perempuan sama-sama, sedang tingginya enam puluh hasta setinggi Nabi Adam a.s. Muda-muda yang masih bersih halus tidak berjanggut, bola matanya memakai tujuh puluh macam perhiasan, yang berubah warnanya tiap-tiap jam, tujuh puluh macam warna, maka dapat melihat mukanya di muka isterinya, demikian pula di dadanya, di betisnya, demikian pula isterinya dapat melihat wajahnya di wajah suaminya, di dada dan di betisnya, mereka tidak berludah dan tidak berhingus.
Dalam riwayat lain: Andaikan seorang wanita syurga menunjukkan tapak tangannya dari langit nescaya akan menerangi antara langit dan bumi.
Zaid bin Arqam r.a. berkata: Seorang ahli kitab datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan bertanya: Ya Abal-Qasim apakah kau nyatakan bahawa orang syurga itu makan dan munum?
Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: Ya, demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tangannya, seorang ahli syurga diberi kekuatan sertus orang dalam makan, minum dan jima’ (bersetubuh).
Dia berkata: Sedang orang yang makan, minum ia lazimnya berhajat, sedang syurga itu bersih tidak ada kotoran? Jawab Nabi s.a.w.: Hajat seseorang itu berupa peluh (keringat) yang berbau harum bagaikan kasturi.
Dari Al’amasy dan seterusnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Rombongan pertama akan masuk syurga dari umatku bagaikan bulan purnama, kemudian yang berikutnya bagaikan bintang yang amat terang di langit kemudian sesudah itu menurut tingkatnya masing-masing, mereka tidak kencing dan buang air, tidak berludah dan tidak hingus, sisir rambut mereka dari emas, dan ukup-ukup mereka dari kayu gaharu yang harum dan peluh mereka kasturi dan bentuk mereka seperti seorang yang tingginya bagaikan Adam a.s. enam puluh hasta.
Ibn Abbas r.a. berkata: Nabi Muhammad s.a.w. bersabda; Sesungguhnya ahli syurga itu muda semua, lurus, tidak ada rambut kecuali di kepala, alis (di kelopak mata), sedang janggut, misai, ketiak dan kemaluan tidak ada rambut, tinggi mereka setinggi Nabi Adam a.s. enam puluh hasta, usianya bagaikan Nabi Isa 33 tahun, putih rupanya, hijau pakaiannya, dihidangkan kepada mereka hidangan, maka datang burung dan berkata: Hai waliyullah, saya telah minum dari sumber salsabil dan makan dari kebun syurga dan buah-buahan, rasanya sebelah badanku masakan dan yang sebelahnya gorengan, maka dimakan oleh orang itu seboleh-bolehnya.
Antara Syarat Untuk Masuk Syurga
Abul-Laits berkata: Sesiapa yang ingin mendapat kehormatan berupa syurga yang penuh kenikmatan itu hendaklah menepati lima perkara, iaitu:
1. Menahan dari maksiat, kerana firman Allah yang bermaksud: Dan menahan nafsu dari maksiat maka syurga tempatnya.
2. Rela dengan pemberian yang sederhana sebab tersebut dalam hadis: Harga syurga itu ialah tidak rakus pada dunia.
3. Rajin, taat dan semua amal kebaikan, sebab kemungkinan amal itulah yang menyebabkan pengampunan dan masuk syurga, firman Allah SWT: Itu syurga yang diwariskan kepadamu kerana amal perbuatanmu.
4. Cinta pada orang-orang yang salih dan bergaul dengan mereka sebab mereka diharapkan syafa’atnya sebagaimana dalam hadis: Perbanyaklah kawan, kerana tiap kawan itu ada syafaatnya pada hari kiamat.
5. Memperbanyakkan doa dan minta masuk syurga dan husnul khatimah.
Yahya bin Mu’adz Al-Razi berkata: Meninggalkan dunia berat, tetapi meninggalkan syurga lebih berat, sedang maharnya syurga ialah meninggalkan dunia.
Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Siapa yang minta kepada Allah syurga sampai tiga kali, maka syurga berdoa: Ya Allah masukkan ia ke syurga dan siapa berlindung kepada Allah dari neraka tiga kali, maka neraka berdoa: Ya Allah hindarkan ia dari neraka.
Wallahu’alam….
Susunan: hasnulhadiahmad.com
Rujukan:
– Al-Quran & Hadis
– Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
– Himpunan Hadis Pilihan oleh Harun Arrassyid Hj. Tuskan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan