BY USTAZ NOR AMIN SAYANI BIN ZAINAL -MUNAKAHAT
Saya ada persoalan berkaitan bakal isteri saya. Kami akan
berkahwin hujung tahun ini. Masalahnya saya terlalu memikirkan kisah silam
bakal isteri saya. Dia mengakui yang dia pernah keluar berdua-duaan dengan
kawan lelakinya, walaupun dia tidak berpegangan tangan atau sebaliknya. Hanya
setakat keluar makan. Bila saya terkenang pasal itu hati saya terus tidak
tenteram. Rasa sakit hati atau hendak marah. Mula memikirkan perkara yang
bukan-bukan semasa mereka keluar berdua.. Mohon nasihat ustaz agar hati saya
lebih redha dan tenang dengan apa yang telah berlaku sekiranya dia adalah jodoh
terbaik saya. Terima kasih ustaz.
Jawapan
Perkahwinan merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW yang telah
disyariatkan kepada sesiapa yang berkemampuan dari segi zahir dan jasmani.
Sesiapa yang membuat keputusan untuk berkahwin hendaklah bersedia dari segala
aspek kerana perkahwinan ini bukan sesuatu perkara yang mudah seperti kita membeli
ikan di pasar. Banyak benda yang perlu kita fikir dan pertimbangkan seperti
agama, rupa paras, keturunan dan harta. Islam telah menyarankan kepada hambanya
supaya memilih pasangan berdasarkan agama mereka, bukan berdasarkan rupa paras
yang ada kepada mereka. Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“Seseorang wanita itu dikahwini kerana empat perkara :
Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Utamakanlah yang
mempunyai agama, nescaya kamu akan selamat” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam masalah anda ini, setiap manusia tidak terlepas
dari melakukan kesalahan dan tidak ada manusia yang tidak pernah melakukan
kesalahan dan dosa kecuali para nabi dan rasul kerana mereka adalah maksum
(dipelihara Allah). Sepatutnya anda perlu memaafkan segala kesalahan yang
pernah dilakukan oleh bakal isteri awak, betapa baiknya dia sanggup
menceritakan segala kisah silamnya. Sepatutnya anda kena terima secara terbuka,
ikhlas serta bersangka baik dan bukan bersangka buruk terhadapnya. Islam juga
menyarankan umatnya bersangka baik terhadap orang lain dan kerana bersangka
buruk boleh mendatangkan fitnah dan boleh menyebabkan hubungan anda menjadi
masalah dengan bakal isteri anda.
Sepatutnya anda kena menerimanya dengan baik walaupun
dirinya tidak memenuhi segala kreteria yang anda tetapkan. Hal ini boleh
diterima dengan satu cara sahaja iaitu memilih bakal isteri berdasarkan agama
seperti menutup aurat, melaksanakan ibadah fardu dengan baik, menghormati
orang, lemah lembut, mempunyai akhlak yang mulia atau sebagainya. Anda dan
keluarga anda juga tidak akan kecewa kerana wanita yang taat kepada perintah
Allah telah tahu apa tugasnya sebagai isteri dan hamba Allah, anda juga tidak
perlu mengajarnya menjadi seorang isteri dan menantu yang baik, malah jika anda
melakukan kesalahan dia sendiri yang akan menegur dan memberi nasihat kepada
anda. Betapa bahagianya bila ada isteri sebegini, sejuk mata dan lembut hati
bila bersamanya.
Buangkan segala perasaan negatif terhadap bakal isteri
anda kerana ia tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada diri anda dan
keluarga anda. Bila berkahwin tanggungjawab anda besar dan akan bersamanya
sampai bila-bila. Jika pada awalnya sudah berperasaan negatif, bagaimana anda
hendak menjadi suami yang baik dan bertanggungjawab? Saya juga yakin
rumahtangga yang dibina pasti akan timbul masalah yang besar dan ini akan
menjadi duri dalam bahtera rumahtangga anda. Bila berlaku sahaja pergaduhan dan
pertengkaran masalah silam isteri akan diungkit.
Hidup anda bersamanya juga menjadi tidak nyaman kerana
buruk sangka sentiasa bermain di dalam fikiran anda, lama-lama ia akan
membuatkan perasaan anda tidak tenteram, waktu itu juga anda akan sentiasa
mencari gaduh dengannya walaupun perkara tersebut remeh seperti masakan tidak
sedap, air kopi tidak manis atau sebagainya. Masalah ini juga boleh
mendatangkan penceraian, bila berlaku cerai anak-anak terabai sehingga
menyebabkan anak mencari keseronokan diluar kerana mereka beranggapan ibu bapa
mereka bukan tempat untuk mereka bermanja dan mengadu masalah.
Cuba kita perhatikan betapa besar inpak atau kesan dari
sangka buruk tadi. Pada awalnya kecil tapi kesannya sangat dalam sehingga boleh
menyebabkan pengabaian tanggungjawab di dalam rumahtangga. Bagaimana nanti bila
anda mati dan berada di hari perhitungan Allah. Ya ibadah anda sempurna tetapi
tanggungjawab terhadap keluarga tidak sempurna disebabkan buruk sangka anda.
Keputusannya, Allah memerintahkan diri anda dihumbankan ke dalam neraka Allah
disebabkan anda cuai sebagai ketua keluarga. Nauzubillahiminzalik….
Tujuan perkahwinan untuk mencari keseronokkan dan
ketenteraman di dalam kehidupan. Orang berkahwin segala keperluan hidupnya
dipenuhi seperti kesempurnaan ibadah, seksual, memperolehi keturunan dan segala yang dapat dinikmati di dalam alam
berumahtangga. Kata Imam al-Ghazali di dalam kitabnya al-Ihya' Ulumuddin,
terdapat lima tujuan pertama, dapat menghasilkan keturunan supaya dunia ini
tidak kepupusan makhluk dari bangsa manusia. Dan seterusnya anak tersebut dapat
berdoa untuk kedua ibubapanya setelah kematian mereka. Kedua, menghilangkan
tekanan syahwat seks terhadap wanita yang sentiasa datang mengganggu di dalam
ibadatnya. Tekanan ini juga akan membawa kepada zina mata atau zina faraj.
Dengan perkahwinan seseorang itu dapat memelihara diri dari syaitan yang akan
membawa ke arah perkara-perkara yang haram. Ketiga, Membereskan gangguan hati
dalam masalah urusan rumahtangga seperti memasak, mengemas, membasuh dan
lain-lain. Dengan ini, masanya tidak banyak terbuang hanya untuk urusan
tersebut sahaja. Keempat, dengan pergaulan dan percampuran suami isteri dapat
menggembirakan serta menjinakkan hati dan perasaan. Di mana perkara ini akan
mendorong dan menguatkan hatinya untuk rajin melakukan ibadat. Kelima, dapat
bermujahadah melawan hawa nafsu di dalam kehidupan berumahtangga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan