Ahad, 26 Ogos 2012

HUKUM JANGGUT DAN MISAI


Soalan; Assalamu alaikm, ustaz. Minta ustaz jelaskan lanjut tentang hukum mencukur janggut. Misai pula macam mana? Terima kasih.

Jawapan;

HUKUM JANGGUT

1. Terdapat arahan dari Nabi s.a.w.;

خالفوا المشركين: وفروا اللحى، وأحفوا الشوارب
“Hendaklah kamu berbeza dengan orang-orang Musyrikin; kerana itu biarkanlah janggut dan buanglah misai” (HR Imam al-Bukhari dari Ibnu ‘Umar r.a.).

Berdasarkan hadis ini, para ulamak melarang lelaki muslim mencukur janggutnya. Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab-mazhab empat); arahan menyimpan janggut dalam hadis di atas adalah arahan wajib. Berkata Qadhi ‘Iyadh; “Dimakruhkan mencukur janggut. Adapun membuang sebahagian dari panjang atau lebarnya jika terlalu lebat, maka itu adalah baik/elok”. Imam Malik memakruhkan janggut yang terlalu panjang. Sebahagian ulamak menggalakkan dipotong janggut yang melebihi satu genggaman tangan. Dalam Soheh Imam al-Bukhari ada diceritakan; Ibnu Umar r.a. bila mengerjakan haji atau umrah, beliau akan menggenggam janggungnya, yang lebih (dari genggaman) akan dipotongnya” (Riwayat Imam al-Bukhari). Namun ada juga ulamak (antaranya Imam an-Nawawi) yang berpandangan; janggut hendaklah dibiarkan tanpa diganggu kerana Nabi s.a.w. menyebutkan di dalam hadis tadi; “….biarkanlah janggut..”. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).

HUKUM MISAI

2. Berbeza dengan janggut, misai pula diperintahkan (dalam hadis tadi) supaya dibuang (digunting/dicukur); “..buanglah misai..”. Tentang had yang perlu dibuang, para ulamak berbeza pandangan;

a) Pandangan pertama; menurut ulamak-ulamak mazhab Hanafi dan Hanbali; yang terbaik ialah mencukurnya (yakni membuang habis). Mereka berdalilkan beberapa sabda Nabi s.a.w. antaranya;
جُزُّوا الشَّوَارِبَ، وَأَرْخُوا اللِّحَى، خَالِفُوا الْمَجُوسَ
“Potonglah misai (hingga habis) dan biarkanlah janggut. Hendaklah kamu berbeza dengan orang Majusi”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut pandangan ini; Perkataan al-jazz dalam hadis di atas memberi makna menggunting misai dan bulu hingga sampai ke kulit.

Di dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda;

خالفوا المشركين: وفروا اللحى، وأحفوا الشوارب
“Hendaklah kamu berbeza dengan orang-orang Musyrikin; kerana itu biarkanlah janggut dan buanglah misai”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Berkata Imam Ibnu Hajar; perkataan al-Jazz dan al-Ihfa’ menunjukkan kepada tuntutan agar bersungguh-sungguh dalam membuang misai. Al-Jazz bermaksud; menggunting hingga ke kulit. Al-Ihfa’ pula bermaksud; membuang habis. Kerana itu Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad mensunatkan dibuang habis misai dengan mencukurnya. (Faidhul-Qadier, hadis no. 3586. Tuhfah al-Ahwazi)

b) Pandangan kedua; menurut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki; yang disunatkan hanyalah mengguntingnya sahaja supaya kelihatan bibir mulut (yakni menggunting bahagian yang memanjang ke atas bibir mulut). Adapun mencukurnya adalah dilarang, di mana hukumnya adalah makruh. Dalil mereka ialah hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; Nabi menggunting sebahagian misainya dan berkata; “Nabi Ibrahim melakukannya” (HR Imam at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan gharib). Imam al-Baihaqi meriwayatkan (dalam Sunannya) dari Syurahbil bin Muslim al-Khaulani (seorang Tabiin) yang menceritakan; Aku telah melihat 5 orang sahabat Rasulullah iaitu Abu Umamah, Abdullah bin Bisr, Utbah bin Abd as-Sulami, al-Hajjaj bin ‘Amir dan al-Miqdam bin Ma’di Yakrib, mereka menggunting misai selari dengan pangkal bibir mulut”. (al-Majmu’, Imam an-Nawawi).

Mengenai hadis-hadis yang dijadikan hujjah oleh pandangan pertama tadi, dijawab; yang dimaksudkan oleh Nabi dengan ucapannya “…buanglah misai..” bukanlah membuang keseluruhannya, akan tetapi membuang sebahagiannya sahaja (iaitu yang melepasi ke bibir mulut) sebagaimana yang ditunjukkan oleh sahabat Nabi tadi.

c) Pandangan ketiga; menurut Imam Ibnu Jarir at-Tabari; harus kedua-duanya, yakni kita boleh memilih sama ada hendak mengguntingnya sahaja atau mencukurnya kerana kedua-duanya sabit di dalam hadis Nabi s.a.w..

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 1/152-155 (Kitab at-Toharah, Bab Khisal al-Fitrah).
2. Faidhul-Qadier, Imam al-Munawi, hadis no. 3586.
3. al-Mjamu’, Imam an-Nawawi, Kitab at-Toharah, bab as-Siwak (1/287).
4. Tuhfah al-Ahwazi, Kitab Abwab al-‘Ilmi, bab Ma Ja-a Fi Qassi as-Syarib (8/42).
5. Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 276-280.
6. Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 21.
7. Fiqh at-Thoharah, Dr. Abdul-Karim Zaidan, hlm. 42.

HUKUM LELAKI MEMAKAI SUASA


Soalan; Assalamualaikum ustaz, Bolehkah ustaz berikan penerangan yang jelas mengenai hukum memakai cincin suasa bagi lelaki? Terima kasih

Jawapan;

Mengikut kaedah yang diputuskan ulamak dalam kitab-kitab Fiqh tentang ketulinan emas dan hukumnya, ia berada dalam tiga kategori;
1. Emas bersih; tidak ada khilaf di kalangan ulamak bahawa ia haram dipakai oleh lelaki.
2. Emas campuran; iaitu emas yang dicampur logam lain. Ia terdiri dari dua jenis;
A) Kandungan emas dominan; ia mengambil hukum emas walaupun warnanya berubah dari warna asal emas. Contohnya; emas putih, hukumnya adalah haram lelaki memakainya kerana kandungan emasnya banyak sekalipun warnanya putih. (Baca jawapan tentang emas putih dalam blog ini).
B) Kandungan emas sedikit; iaitu kurang dari 1/3 (34%).[1] Hukumnya hendaklah dilihat;
- Jika kandungan emas tidak dapat dipisahkan lagi dengan apa cara sekalipun (sama ada meleburkannya atau cara lain), harus ia dipakai oleh lelaki kerana tidak lagi dianggap memakai emas.
- Adapun jika kandungan emas masih dapat dipisahkan, haram dipakai oleh lelaki kerana dianggap memakai emas.[2]

Melihat kepada suasa, untuk menentukan hukumnya, perlulah dilihat nisbah emas dalam suasa dan apakah kandungan itu dapat dipisahkan atau tidak? Dalam satu laman web (Nusantara Heritage), ada dinyatakan; suasa adalah hasil campuran tiga logam iaitu tembaga, perak dan emas. Nisbah emas berlegar antara 22% hingga 37.5%, bermakna; suasa terbaik ialah yang campuran emasnya 37.5%, sementara yang terbawah 22%. Jika maklumat ini tepat, maka kita tidak boleh meletakkan satu hukum sahaja bagi suasa dengan merujuk kepada standart tadi. Suasa yang kandungan emasnya 22%, hukumnya harus bagi lelaki. Adapun yang kandunganya 37.5%, hukumnya haram kerana melebihi had minima yang dianggap sedikit iaitu 1/3 (34%).

Kesimpulannya, suasa ada yang harus dipakai lelaki dan ada yang haram melihat kepada nisbah kandungan emas di dalamnya. Apa yang terbaik ialah kita tidak memakainya kerana dibimbangi terpakai suasa yang diharamkan. Selain itu, ulamak yang mengharuskan suasa yang sedikit kandungan emasnya (yakni yang kurang dari 34%) mereka mengharuskannya dengan makruh (yakni walaupun tidak haram, akan tetapi makruh iaitu lebih baik ditinggalkan) kerana syubhah (disebabkan terdapat kandungan emas di dalamnya). Namun jika ingin memakainya juga, hendaklah benar-benar dipastikan kandungan emasnya di bawah kadar yang diharuskan tadi.  

Wallahu a'lam.

Nota;

[1] Meminjam pandangan mazhab Maliki yang menetapkan kadar campuran emas 1/3 ke bawah sebagai berada dalam lingkungan sedikit. Menurut ulamak-ulamak mutaakhir mazhab Maliki (dalam masalah percampuran emas dan perak); jika kadar emas melebihi 1/3, haram lelaki memakainya. Jika kadarnya 1/3 ke bawah, tidak haram lelaki memakainya, akan tetapi dimakruhkan.  (Lihat; Minah al-Jalil Syarh Mukhtasar Khalil (1/58), As-Syarh al-Kabir Li ad-Dardir (1/63)).
[2] Dalam masalah menyadur logam dengan emas, pandangan mazhab-mazhab adalah seperti berikut;
A) Mazhab Hanafi; bekas yang disadur dengan emas dan perak harus digunakan jika kandungan emas itu tidak mungkin dipisahkan lagi dari bekas.
B) Mazhab Syafiie; harus menggunakan bekas yang disadur dengan emas dan perak jika saduran itu sedikit iaitu tidak dapat dipisahkan lagi dari bekas. Jika kandungan emas itu banyak iaitu dapat dipisah dari bekas yang disadur itu (melalui peleburan atau sebagainya), haram menggunakannya. Menurut mazhab Syafiie juga; jika bekas emas atau perak disadur dengan logam lain, harus digunakan kerana tidak ada lagi kebanggaan emas padanya.
C) Mazhab Hanbali; bekas yang disadur dengan emas dan perak haram digunakan sama seperti haramnya bekas emas dan perak itu sendiri. Namun jika berubah sifat emas setelah proses saduran iaitu warnanya tidak lagi kelihatan seperti emas, harus digunakan dengan syarat kandungan emas tidak lagi dapat dipisahkan dari bekas yang disadur itu.
D) Mazhab Maliki; Tidak haram menggunakan bekas yang disadur dengan emas kerana ia mengikut hukum bekas, bukan hukum emas.  
(al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (1/119, Aniyah), Mughni al-Muhtaj (1/129, kitab at-Toharah), al-Insaf (1/478, bab Sitr al-'Aurah), As-Syarh al-Kabir Li ad-Dardir (1/63)).

Rujukan;

1. al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (perkataan; Aniyah),
2. Mughni al-Muhtaj, Syeikh Khatib as-Syirbini, 1/129.
3. Minah al-Jalil Syarh Mukhtasar Khalil, Syeikh Muhammad bin Ahmad Ulaisyh, 1/58.
4. Al-Inshaf Fi Ma'rifati ar-Rajih Minal-Khilaf, Syeikh Alauddin Ali bin Sulaiman al-Mardawi, 1/478.
5. al-Fatawa al-Hindiyah, 42/200.
6. Islamweb.com (http://www.islamweb.net/ver2/fatwa/ShowFatwa.php?lang=A&Option=FatwaId&Id=47774).
7. (http://www.infad.usim.edu.my/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=1763&mode=thread&order=0&thold=0)
8. (http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/questions/view/2170).
9. (http://www.nusantaraheritage.com.my/logam/suasa.html).

JAM EMAS


Soalan; Assalamualaikum Ustaz..Saya ada pertanyaan..Apakah hukum bagi seorang lelaki memakai jam tangan yang disadurkan dengan emas? Sekian, terima kasih.

Jawapan;

1. Terdapat larangan yang jelas dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- terhadap orang lelaki memakai emas. Sabda Nabi (bermaksud); “Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan kepada wanita-wanita mereka” (HR Imam at-Tirmizi dari Abu Musa al-Asy’ari –radhiyallahu ‘anhu-. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Malah turut dilarang ialah perkakas/peralatan dari emas (dan juga perak). Larangan ini merangkumi lelaki dan juga perempuan. Sabda Nabi SAW; "Jangan kamu minum dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan dari keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Huzaifah r.a.).

Hadis di atas walaupun hanya menyebutkan larangan bekas emas dan perak untuk makan dan minum, namun dikiaskan kepadanya peralatan-peralatan yang lain yang dibuat darinya untuk kegunaan lainnya kerana jika untuk kegunaan terpenting manusia (iaitu makan dan minum) ia dilarang, maka kegunaan yang kurang penting darinya lebih-lebih lagilah dilarang. Berkata Imam an-Nawawi; "Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa diharamkan menggunakan bekas dari emas dan perak sama ada untuk makan, minum, bersuci atau bentuk-bentuk penggunaan yang lain, sama ada bekas itu besar atau kecil, sama ada yang menggunakannya itu lelaki atau perempuan" (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).Termasuk yang diharamkan ialah jam dan pen dari emas dan perak. (Syeikh Majid al-Hamawi, ta’liq ‘ala Matn al-Ghayah wa at-Taqrib, hlm. 28). Kesimpulannya, Emas (dan begitu juga perak) hanya harus untuk perhiasan diri sahaja (emas bagi perempuan sahaja, perak bagi perempuan dan juga lelaki) dengan kadar yang diharuskan oleh Syarak. Adapun untuk dijadikan perkakas atau kegunaan, tidak diharuskan sama sekali.

Oleh itu, jam yang dibuat dari emas haram lelaki memakainya sama ada atas nama perhiasan atau peralatan.[1] Begitu juga, jam yang bukan keseluruhannya dari emas, akan tetapi terdapat bahagian tertentu dibuat dari emas –seperti jarumnya, lingkungan mukanya, tangannya atau sebagainya- juga diharamkan lelaki memakainya kerana ia juga termasuk dalam makna menjadikan emas sebagai peralatan atau perhiasan.[2]

2. Adapun jam yang bersalut emas; jika salutan emas itu adalah tiruan (yakni bukan emas, tetapi air emas atau bahan lain yang berwarna seperti emas), tidaklah dilarang. Namun jika salutan itu sememangnya emas (yakni jam yang dibuat dari logam lain, kemudian disalut dengan lapisan emas di luarnya), jika salutan itu banyak, haram memakainya dengan sepakat para ulamak. Jika salutan itu sedikit, ia menjadi khilaf di kalangan ulamak seperti berikut;

a) Menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Hanafi, Maliki dan Syafiie); Salutan yang sedikit, tidak haram memakainya, akan tetapi makruh. Ukuran untuk menentukan banyak atau sedikit ialah; jika emas itu masih dapat dipisahkan dari logam yang disalutinya –dengan cara peleburan, pengikisan atau seumpamanya-, ia dianggap banyak. Jika sudah tidak dapat dipisahkan –dengan apa cara sekalipun-, ia dikira sedikit.[3]

b) Menurut mazhab Hanbali; diharamkan memakainya sama ada salutan emas banyak atau sedikit, sama ada emas itu dapat dipisahkan atau tidak lagi dapat dipisahkan, kerana larangan Nabi dalam hadis tadi adalah umum merangkumi pengertian emas secara amnya (tanpa diikat dengan sedikit atau banyak). (al-Insaf, 1/478)

Tindakan terbaik ialah kita tidak memakainya kerana jumhur ulamak yang mengharuskannya tadi mereka mengharuskannya dengan hukum makruh (yakni sekalipun tidak haram memakainya, akan tetapi makruh). Lagipun apabila terdapat khilaf di kalangan ulamak, jika kita dapat mengambil jalan untuk lari dari khilaf (dengan tidak melakukannya), itulah tindakan terbaik.

Wallahu a’lam.

Nota;

[1] Begitu juga, diharamkan ke atas kanak-kanak. Namun oleh kerana kanak-kanak belum mukallaf, yang menanggung dosa ialah orang yang memakaikan kepadanya sama ada ibunya, bapanya atau sebagainya. (Lihat; Tuhfah al-Ahwazi, 4/4-9, bab Ma Ja-a Fi al-Harir wa al-Fiddah).

[2]-Pemakaian emas oleh lelaki hanya harus ketika darurat sahaja seperti untuk menampung kecacatan di badan seperti membuat hidung palsu, gigi (termasuk mengikat gigi), hujung jari dan sebagainya jika tidak ada logam lain dapat menggantinya. Harus juga menggunakan perak. (lihat; al-Majmu’, 1/256, 6/38. Lihat juga; Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 348).
-Menurut ulamak; Termasuk yang dilarang ialah menjadikan emas sebagai bahan penampal, tampungan atau pengikat kepada bekas sama ada kerana keperluan (seperti menampung bekas yang pecah) atau kerana perhiasan. Ia diharamkan sama ada kadar emas itu banyak atau sedikit. Hanya diharuskan tampalan/tampungan itu ialah dengan perak, itupun untuk keperluan, bukan untuk perhiasan. Kadarnya hendaklah sedikit sahaja, tidak banyak. Menurut mazhab Syafiie; menampung bekas dengan perak, jika sedikit kadar tampungan itu dan dibuat kerana keperluan, tidaklah makruh (yakni harus). Jika dibuat untuk perhiasan, makruh. Jika kadar tampungan banyak, jika kerana ada keperluan, hukumnya makruh, dan jika kerana perhiasan (bukan keperluan), hukumnya haram. Adapun dengan emas, hukumnya haram sama ada kerana keperluan atau perhiasan, sedikit kadar emasnya atau banyak. (Lihat; al-Majmu’, 1/254, bab al-Aniyah).

[3] Tidak diharamkan memakainya kerana dengan kadar emas yang sedikit itu (dan tidak dapat dipisahkan lagi), ia seolah-olah tidak wujud melainkan warnanya sahaja yang masih tinggal. Menurut pandangan yang paling soheh; tidak diambil perkiraan lagi bagi suatu yang tidak tinggal darinya melainkan warna sahaja (Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 369).

Rujukan;

1. Fiqh al-Albisan wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 369.
2. Al-Inshaf Fi Ma'rifati ar-Rajih Minal-Khilaf, Syeikh Alauddin Ali bin Sulaiman al-Mardawi, 1/478.
3. Tuhfah al-Ahwazi, 4/4-9, bab Ma Ja-a Fi al-Harir wa al-Fiddah.
4. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 1/254 (bab al-Aniyah), 6/38 (Kitab az-Zakah, bab Nisab az-Zahab wa al-Fiddah..).
5. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi.
6. at-Ta'liq 'Ala Matn al-Ghayah wa at-Taqrib, Syeikh Majid al-Hamawi.

JAM TANGAN; PERHIASAN ATAU KEPERLUAN?


Soalan; Apa ulasan ustaz tentang dakwaan berikut;
Haram hukumnya memakai jam jika di anggap sebagai perhiasan kerna perhiasan utk org lelaki hanya cincin sahaja. Oleh itu pemakaian jam perlulah di anggap sebagai keperluan, bukannya hiasan. Manakala setiap keperluan dipakai di sebelah kiri spt contohnya jam dan poket baju. wallahu aklam. Wassalam.

Jawapan;

Perhiasan bermaksud sesuatu yang dipakai untuk tujuan berhias. Jika tidak dipakai tidaklah menimbulkan sebarang masalah bagi hidup. Adapun keperluan, ia merupakan suatu yang diperlukan dalam hidup. Jika tidak ada atau tidak dilakukan boleh membawa kerosakan dakam hidup atau menimbukkan kesukaran. Mendakwa perhiasan bagi kelaki hanya cincin sahaja dan perhiasan lain adalah haram dipakai oleh lelaki, dakwaan itu perlu disokong oleh dalil al-Quran dan as-Sunnah. Bagaimana dengan tengkolok yang dipakai, songkok hitam, pingat-pingat, pin-pin, kopiah berwarna warni dan bermacam perhiasan lagi (yang bukan cincin) yang dipakai oleh kaum lelaki hari ini? Jika benar ada dalil mengharamkan segala perhiasan bagi lelaki kecuali cincin sahaja, semua itu haram dipakai dan setakat hari ini belum ada ulamak memfatwakan sedemikian.

Menurut ulamak; semua jenis perhiasan adalah harus selagi tidak melanggar batasan yang ditetapkan Syariat, di antaranya; bagi lelaki, perhiasan janganlah hingga meniru kaum wanita. Ini kerana terdapat hadis melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. Diriwayatkan dari Ibnu 'Abbas yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah melaknat lelaki-lelaki yang meniru-niru perempuan dan wanita-wanita yang meniru-niru lelaki” (Riwayat Imam Bukhari). Rasulullah tidak menghadkan bentuk-bentuk penyerupaan yang dilarang dalam hadis ini. Kerana itu, menurut ulamak ia hendaklah dirujuk kepada uruf (kebiasaan) manusia setempat atau sejagat. Pada hari ini, kita melihat antara perhiasan yang khusus bagi wanita ialah gelang, rantai dan anting-anting. Kerana itu haram lelaki memakainya kerana apabila ia memakainya, masyarakat sekeliling akan menganggap ia meniru/menyerupai kaum wanita. Adapun perhiasan seperti jam tangan, ia tidaklah khusus kepada kaum wanita atau kaum lelaki kerana ia dipakai oleh kedua-dua golongan hari ini. Kerana itu, tidak ada penyerupaan di situ. Walaupun jam tangan menyerupai gelang, namun masyakat telah menerima bahawa ia bukan lagi gelang dan tidak lagi dianggap perhiasan khusus untuk kaum wanita sahaja.

Jam secara umumnya merupakan keperluan kerana ia diperlukan untuk melihat masa/waktu (termasuk waktu solat). Namun jam tangan adalah perhiasan kerana untuk mengetahui masa tidak semestinya dengan jam di tangan. Malah kita boleh berpada dengan jam yang ada di handset, di dinding dan sebagainya untuk melihat waktu. Hari ini jam tangan ada bermacam-macam jenis dan harga; ada yang harganya puluhan ringgit sahaja, ada yang ratusan ringgit dan ada yang hingga ribuan ringgit. Kalau sekadar keperluan, tidak perlu hingga ratusan atau ribuan ringgit. Namun oleh kerana telah menjadi perhiasan (di samping keperluan), orang sanggup berbelanja lebih untuk berhias kerana tujuan berhias adalah untuk kelihatan cantik dan elok. Syariat mengharuskannya selagi tidak melanggar batasan yang ditetapkan.

Sekalipun kita menganggap jam tangan satu keperluan, bukan perhiasan, apakah benar suatu yang dibuat atas dasar keperluan perlu didahulukan yang kiri atau diletakkan di sebelah kiri? Dakwaan yang dikemukan dalam soalan diatas "...setiap keperluan dipakai di sebelah kiri spt contohnya jam dan poket baju. wallahu aklam...", dakwaan ini agak pelik dan luar biasa. Apa yang menjadi amalan Nabi ialah urusan yang baik-baik didahulukan atau diutamakan anggota sebelah kanan. Adapun urusan yang kotor atau tidak baik berbanding yang baik (seperti membasuh kencing dan berak, masuk tandas, keluar dari masjid) Nabi melakukannya dengan tangan kiri atau dengan mendahulukan anggota kiri. Kerana itu, saya menyebutkan dalam jawapan sebelum ini; oleh kerana memakai jam tangan merupakan perhiasan dan perhiasan adalah suatu yang baik, maka sebaiknya ia dipakai di tangan kanan, namun jika hendak dipakai di tangan kiri tidaklah dilarang kerana tiada dalil melarangnya dan lagipun, Nabi sendiri pernah memakai cincin di sebelah tangan kirinya (sekalipun yang kerapnya baginda memakai di sebelah kanan). Kecualilah jika orang yang membuat dakwaan di atas baginya memakai jam tangan merupakan suatu yang kotor dan keji, namun saya yakin orang lain tidak menanggap seperti itu.

Wallahu a'lam.

MEMAKAI JAM DI TANGAN KIRI, MAKAN DENGAN TANGAN KIRI & BEZA ANTARA SUNAT DAN SUNNAH


Soalan; Assalamualaikum. Saya ada beberapa soalan yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam.
1. Ada pendapat yang mengatakan pemakaian jam atau gelang pada tangan kiri tak boleh mengikut Islam.
2. Seseorang itu mengunakan tangan kiri untuk mengambil makanan apakah perkara tersebut dikira BERDOSA atau sebaliknya?
3. Apakah perbezaan yang dimaksudkan mengikut sunnah Nabi s.a.w dengan perkara sunat.
Mohon Ustaz huraikan maksud soalan di atas. Ini kerana ada setengah orang menyatakan ianya adalah TIDAK BAIK . Sekian terima kasih.

Jawapan;

Makan dengan tangan kiri

1. Bagi makan dan minum, kita amat dituntut untuk makan dengan tangan kanan. Makan menggunakan kiri adalah dilarang kerana ia menyalahi arahan Nabi dan terdapat ancaman baginda terhadap orang yang melakukannya. Di antara hadisnya ialah;

Dari bin Abi Salamah -yang merupakan anak kepada Ummu Salamah iaitu isteri Nabi- menceritakan; “Aku adalah kanak-kanak yang tinggal serumah dengan Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-. (Suatu hari aku makan bersama beliau) dan ketika makan itu tanganku bergerak ke segenap dulang (untuk mengambil makanan). Lalu beliau berkata kepadaku; “Wahai anak! Mulakanlah makan dengan menyebut nama Allah, makanlah dengan tangan kanan dan makanlah makanan yang hampir denganmu”. Sejak selepas itu, berterusan adab tersebut menjadi cara makanku. (Soheh al-Bukhari, kitab at-At’imah)

Berkata Imam as-San’ani (mengulas hadis di atas); Hadis ini menjadi dalil bahawa wajib makan dengan tangan kanan kerana Nabi mengarahkannya[1] di samping ditegaskan lagi oleh Nabi bahawa Syaitan makan dan minum dengan tangan kiri[2] dan perbuatan Syaitan diharamkan ke atas manusia untuk mengikutinya. Begitu juga, diceritakan; Seorang lelaki makan dengan tangan kiri di hadapan Nabi, lalu baginda berkata kepadanya; “Makanlah dengan tangan kanan kamu”. Lalu lelaki itu menjawab; “Aku tidak boleh”. Nabi lalu berkata (mendoakan); “Semoga kamu akan benar-benar tidak boleh” kerana tidak menghalangnya dari mematuhi arahan Nabi itu melainkan kerana sombong. Setelah itu lelaki tersebut tidak dapat lagi mengangkat tangannya ke mulut” (HR Imam Muslim). Nabi tidak akan mendoakan yang tidak baik melainkan ke atas orang yang meninggalkan perkara wajib (menunjukkan makan dengan tangan kanan itu adalah wajib). (Subulussalam, Imam as-Son’ani, kitab an-Nikah, bab al-Walimah)

Dikecualikan jika seseorang itu tidak berdaya, seperi tangan kanannya terpotong, lumpuh, sakit atau sebagainya, maka ketika itu haruslah ia makan dengan tangan kiri kerana seseorang tidak disuruh lebih dari kemampuannya.

Maksud makan ialah kita menyuap makanan ke dalam mulut. Itu yang dituntut dengan tangan kanan. Adapun memindahkan makanan dari hidangan ke dalam pinggan kita (seperti menceduk makanan dari bekas di hadapan kita ke dalam pinggan kita), itu tidaklah dinamakan makan. Jika kita dapat menggunakan tangan kanan, itulah yang sebaik-baiknya. Namun jika kita merasakan memegang sudu dengan tangan kanan yang telah dicemari makanan akan menimbulkan perasaan tidak enak orang lain yang makan bersama kita, tidak mengapa kita menceduk dengan tangan kiri. Ini kerana adat dan pandangan manusia setempat juga di ambil kira oleh Islam selagi ia tidak bertentangan dengan Syariat.

Urusan-urusan yang disunatkan dengan tangan kanan

2. Adapun urusan-urusan yang lain, para ulamak membahagikannya kepada dua jenis;
a) Urusan-urusan yang mulia
b) Urusan-urusan yang tidak mulia atau kurang mulia berbanding yang pertama.

Urusan-urusan yang mulia, disunatkan kita menggunakan tangan kanan atau mendahulukan tangan kanan. Contohnya ; mengambil wudhuk (sunat mendahulukan anggota kanan dari yang kiri), mandi wajib atau mandi sunat (sunat memandikan sebelah kanan badan terlebih dahulu), memakai pakaian, kasut dan selipar, memakai seluar, memasuki masjid, bersugi (memberus gigi), bercelak, memotong kuku, menipiskan misai, mencabut bulu ketiak, mencukur rambut, memberi salam di hujung solat, keluar dari tandas, makan, minum, berjabat tangan, melambai Hajar Aswad, mengambil sesuatu dari orang lain dan memberi sesuatu dan urusan-urusan lain yang semakna.

Adapun urusan-urusan yang tidak mulia atau kurang mulia berbanding di atas, disunatkan kita menggunakan tangan kiri atau mendahulukan yang kiri dari yang kanan. Contohnya; membuang hingus, beristinjak (membasuh kencing dan berak), memasuki tandas, keluar dari masjid, ketika menanggalkan sepatu/kasut, seluar, pakaian dan selipar, melakukan perkara-perkara yang kotor dan yang seumpamanya lagi.

Dalil bagi kaedah atau ukuran di atas ialah hadis-hadis yang banyak, antaranya;

a) Dari ‘Aisyah menceritakan; “Rasulullah menyukai (mendahulukan) sebelah kanan bagi semua urusannya; ketika bersuci, ketika menyisir rambut dan ketika memakai sepatu” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Sebahagian ulamak mengulas; Rasulullah suka mendahukan sebelah kanan adalah untuk membina harapan baik kerana ahli syurga adalah dari golongan kanan (Ashabil-Yamin). (Fathul-Bari)

b) Aisyah menceritakan juga; “Adalah tangan kanan Rasulullah beliau gunakan untuk bersuci (wudhuk) dan makan. Adapun tangan kirinya beliau gunakan untuk membasuh kencing dan berak dan urusan yang kotor/jijik” (HR Imam Abu Daud. Menurut Imam an-Nawawi; sanad hadis ini adalah soheh. Lihat dalam al-Majmu’).

c) Dari Hafsah menceritakan; “Rasulullah menggunakan tangan kanannya untuk makanannya, minumannya dan pakaiannya dan tangan kirinya untuk urusan-urusan selainnya” (HR Imam Abu Daud. Menurut Imam an-Nawawi; sanad hadis ini jayyid. Lihat dalam al-Majmu’).

d) Dari Ummu ‘Atiyah menceritakan; Rasulullah memerintahkan kepada perempuan-perempuan yang memandikan jenazah anak perempuannya; “Mulakan dengan memandikan sebelah kanannya dan dari anggota-anggota wudhuknya” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

e) Dari Abu Hurairah menceritakan; Rasulullah bersabda; “Apabila kamu memakai pakaian dan apabila kamu mengambil wudhuk, mulailah dari sebelah kanan kamu” (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dengan sanad yang soheh).

f) Dari Abu Hurairah juga; Rasulullah bersabda; “Apabila kamu memakai sepatu/kasut, mulailah dengan kaki sebelah kanan dan apabila kamu menanggalnya, mulailah dengan kaki sebelah kiri supaya yang kanan menjadi yang paling awal kamu pakai dan yang paling akhir kamu tanggalkan” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

g) Dari Anas yang berkata; “Menjadi sunnah Nabi apabila kamu ingin memasuki masjid, mulailah dengan kaki kanan dan apabila kamu keluar darinya, mulailah dengan kaki kiri” (HR Imam al-Hakim. Hadis soheh mengikut syarat Imam Muslim).

Memakai jam dan gelang di tangan kiri

3. Berbalik kepada soalan di atas, iaitu mengenai memakai jam dan gelang tangan, oleh kerana ia adalah perhiasan, melihat kepada ukuran dan kaedah di atas; disunatkan di sebelah kanan kerana memakai perhiasan termasuk dalam kategori urusan-urusan yang mulia. Ia tidaklah wajib kerana tiada nas yang mewajibkannya tidak sepertimana wajib makan dengan tangan kanan tadi kerana ada nas yang mewajibkannya. Malah jika kita melihat kepada pemakaian cincin oleh Rasulullah, ada hadis menceritakan Rasulullah memakai cincin di sebelah kanan dan ada juga hadis baginda memakainya di sebelah kiri

Perbezaan Sunat dan Sunnah

2. Mengenai perbezaan Sunat dan Sunnah;

a) Sunat merujuk kepada hukum iaitu perbuatan atau percakapan yang disunatkan iaitu jika dilakukan akan mendapat pahala dan jika ditinggalkan tidaklah berdosa. Ia adalah salah satu dari lima hukum taklifi (yakni hukum Syariat yang ditetapkan ke atas perbutan-perbuatan manusia) iaitu; wajib, sunat, harus, haram dan makruh.

b) Adapun sunnah atau as-Sunnah, ia bermaksud cara hidup Nabi atau apa yang datang dari Nabi. Pengertian Sunnah lebih luas dari sunat kerana Sunnah terangkum di dalamnya semua yang diwarisi dari Nabi meliputi perbuatan Nabi, percakapan Nabi, pengakuan Nabi, sifat-sifat Nabi (sama ada sifat kejadian atau sifat akhlak) dan seerah hidup baginda (dari mula kelahiran hingga kewafatannya). Sunnah ada yang wajib kita amalkan, ada yang sunat diamalkan dan ada yang elok untuk diikuti. Sebagai contoh tadi; makan dengan tangan kanan, ia termasuk dalam sunnah yang wajib diamalkan. Adapun yang lain-lainnya (berwudhuk mulai dari anggota kanan, memakai pakaian, sepatu bermula dari kanan dulu, melangkah kaki kanan dulu untuk masuk masjid dan sebagainya tadi) ia adalah sunnah yang termasuk dalam kategori sunat.

Wallahu a’lam.

Nota;

[1] Sebahagian ulamak berkata arahan Nabi dalam hadis-hadis di atas adalah arahan sunat. Orang yang melanggarnya tidaklah melakukan perbuatan yang haram, akan tetapi makruh kerana meninggalkan perbuatan yang disunatkan. Inilah yang menjadi pegangan kebanyakan ulamak-ulamak mazhab Syafiie. Namun mengikut pandangan Imam Syafiie sendiri –sebagaimana yang diriwayatkan darinya-; arahan dalam hadis tersebut adalah arahan wajib. (Fathul-Bari, 9/522, bab at-Tasmiah ‘ala at-Tha’am aw al-Akl bi al-Yamin).

[2] Merujuk kepada hadis dari Ibnu Umar yang menceritakan; Rasulullah bersabda; “Janganlah sesiapa dari kamu makan dan minum dengan tangan kirinya kerana Syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya” (HR Imam al-Bukhari).

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 1/384, Kitab at-Toharah, Bab as-Siwak.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, 1/273, Kitab al-Wudhu’, Bab at-Tayammun fi al-Wudhu’ wa al-Ghusl.
3. Subulussalam, Imam as-Son’ani, kitab an-Nikah, bab al-Walimah.
4. Al-Madkhal Lid-Dirasah as-Sunnah an-Nabawiyyah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
5. Buhus Fi as-Sunnah al-Mutahharah, Dr. Muhammad Muhammad Mahmud Farghali.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL 

HUKUM KESALAHAN DALAM BACAAN FATIHAH


Soalan; Salam Ustaz. Apa hukum solat jika membaca Al-Fatihah salah tajwid, iaitu merangkumi:
- tidak menyebut syaddah pada huruf yang bertasydid, seperti pada iyyaka dibaca iyaka
- salah makhraj, seperti dho disebut zho pada waladhdhollin
- tidak memelihara hukum mad, seperti dho pada waladhdhollin panjang 6 harakat dibaca 2 harakat sahaja.
Harap penjelasan ustaz.

Jawapan;

Para ulamak menjelaskan;
1. Surah al-Fatihah wajib dibaca di dalam solat dengan merangkumi segala huruf dan syaddah-syaddahnya. Jika jatuh satu huruf darinya atau diringankan huruf yang sepatutnya disyaddahkan atau diganti satu dengan huruf lain, tidak sah bacaannya sama ada huruf dhodnya atau huruf lainnya.
2. Dari segi sebutan huruf; jika bertukar sebutan dhod (
ض) menjadi dzo (ظ) menurut satu pandangan (dari fuqahak mazhab Syafiie); tidak menjejaskan bacaan (yakni bacaan masih sah kerana agak sukar bagi orang awam untuk memebezakan antara dua huruf tersebut, jadi ia dimaafkan). Namun pandangan yang rajih (al-Asah); tidak sah bacaan, kecualilah bagi orang yang tidak mampu untuk belajar, maka ia dimaafkan. Jika sebutan dhod itu dibaca dengan selain dzo, tidak sah bacaan tanpa ada khilaf. Begitu juga, tidak sah bacaan jika bertukar dzal (ذ) menjadi dal (د). Namun jika huruf qaf (ق) disebut hampir kepada kaf (ك) (yakni sebutan antara qaf dan kaf), bacaan masih sah namun makruh.    
3. Jika berlaku kesalahan pada baris; jika mengubah makna seperti ta pada (
أ نعمت) dibaca dengan baris dhammah atau kasrah, atau kaf pada (إياك) dibaca dengan baris kasrah, tidak sah bacaan fatihah. Jika tidak sampai mengubah makna, tidak batal bacaan Fatihah (yakni masih sah bacaan).
4. Kesalahan tajwid dalam bacaan tidaklah membawa kepada tidak sahnya bacaan Fatihah selama tidak menjejaskan makna seperti yang dijelaskan tadi. Oleh demikian, memendekkan mad pada (
ولا الضالين) dari 6 kepada 2 tidaklah membatalkan bacaan kerana ia tidak mengubah makna.

Kesalahan-kesalahan yang boleh menjejaskan bacaan yang dinyatakan di atas jika dilakukan dengan sengaja, akan batallah solat. Jika berlaku tanpa disengajakan, solat tidak batal namun wajib diulangi bacaan. Jika tidak diulangi bacaan yang salah itu, batallah solat.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Raudhatu at-Thalibin, Imam an-Nawawi, 1/348 (kitab as-Solah, al-Bab ar-Rabi'; Sifati as-Solah).
2. Al-Fiqh al-Manhaji, Syeikh Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan 'Ali as-Syarbaji, 1/132.
3. Mughni al-Muhtaj, Syeikh al-Khatib as-Syirbini, 2/299-301.
4. Fatawa as-Syabakah al-Islamiyah, no. 33960, 79718, 73321.

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR


Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih.

Jawapan;

Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar, selepas itu saudara mengerjakan pula solat qadha asar atau solat-solat lain yang tertinggal. Menyegerakan solat fardhu yang tertinggal adalah amat dituntut.

Wallahu a'lam.