Semoga Allah Yang
Maha Agung menolong kita supaya setiap perkataan yang kita ucapkan adalah baik.
Sesungguhnya berbicara itu mudah, tetapi adalah berat bagi melaksanakannya.
Mulut bagaikan muncung teko yang hanya tahu mengeluarkan isinya sahaja. Walau
apapun yang kita katakan, ia menunjukkan siapakah diri kita sebenarnya.
Contohnya, penghinaan kita terhadap seseorang sebenarnya menunjukkan kehinaan
diri kita sendiri apabila dibandingkan dengan kehinaan orang yang kita hina.
Perkataan yang baik
membuktikan keislaman seseorang. Sesungguhnya, setiap orang hendaklah
memastikan kata-kata yang diucapkannya adalah benar-benar baik. Apabila kita
tidak yakin dapat mengeluarkan kata-kata yang baik, berdiam diri adalah lebih
baik. Tetapi, menghindari akibat daripada perkataan yang kurang baik lebih
bermanfaat daripada memaksa diri berbicara yang mengakibatkan sesuatu yang
buruk kepada diri sendiri mahupun orang lain.
Alangkah rugi apabila
waktu kita dihabiskan sekadar berbicara berkaitan dengan perkara-perkara yang
tidak penting. Kadang-kadang kita tidak mampu memastikan topik yang kita
bicarakan itu bermanfaat ataupun tidak. Bahkan seringkali kita tidak berdaya
menghindarkan diri daripada perbualan yang berbaur fitnah, umpatan dan
permusuhan. Semoga Allah mengurniakan kepada kita kemampuan untuk menjaga lidah
kita supaya sentiasa berbicara mengenai perkara yang bermanfaat.
RENUNGAN :
Ada baiknya sekiranya
kita memahami kelebihan orang lain dalam berbicara. Ada empat jenis perkataan
iaitu:
1- Perkataan yang
bijak
Sekiranya berbicara
setiap kata-katanya jelas dan bernilai. Setiap perbualan sarat dengan ilmu,
hikmah dan zikir, sehingga setiap orang yang mendengar berasakan manfaat
daripada kata-katanya. Apabila membicarakan sesuatu, dia selalu memberikan
sesuatu yang berfaedah kepada orang yang mendengarnya. Kata-kata orang yang
bijak ini selalu dinanti-nantikan. Namun, biasanya orang yang bijak tidak
terlalu melepaskan kata-katanya. Bahkan, dirinya lebih senang mendengar orang
lain bercakap bagi mengambil hikmah dari percakapan itu.
2- Perkataan orang
biasa
Perbualan kosong
tiada asasnya. Segala kejadian yang dilihat dijadikan cerita ataupun dijadikan
ulasan. Waktu yang digunakan bagi berkata-kata lebih banyak daripada nilai yang
diperoleh. Selama 2 jam digunakan bagi berbual kosong, tetapi kesemuanya tiada
nilai walaupun sedikit. Contohnya, dia hanya sibuk bercerita mengenai bola
sepak, pelanggaran kereta, gosip serta sesuatu yang tidak ada hikmahnya. Orang
yang sibuk bercerita tanpa ada pengajaran, ilmu, zikir adalah orang biasa.
Orang yang membiarkan waktu berlalu dengan begitu sahaja. Orang itu berada
dalam kerugian.
3- Perkataan orang
yang martabatnya rendah
Ia adalah perkataan
yang berisi keluhan, hinaan, cacian dan makian. Orang seperti ini sebenarnya
tidak pernah menerima semua yang ada di hadapannya. Dia selalu sahaja
mencari-cari kekurangan benda di sekelilingnya. Apabila diberi makan bersungut,
“Sayang, makanan ini kurang panas.” Apabila sudah dipanaskan, “Kurang garam
pula,” katanya. Apabila sudah diletakkan garam, merungut pula, “Lebih sedap
sekiranya ada kicap.” Dan seterusnya tidak ada yang sesuai dengan kehendaknya.
Apabila melihat pada
suasana biasa, mereka berkata, “Orang-orang bandar ada-ada saja kerjanya.”
Melihat ustaz pula, “Ah, kerjanya hanya cakap kosong sahaja.” Semua menjadi
perkara yang kurang senang dimatanya.” Ada orang hanya bercakap mengenai
keburukan sahaja. Setiap perkataan yang diungkapkan hanya memperlihatkan
kehinaan dirinya.
4- Perkataan orang
yang dangkal
Siapakah dia?
Ciri-cirinya terdapat pada setiap percakapannya yang kosong itu. Dia lebih
sibuk menceritakan kehebatan dirinya sendiri. “Ini adalah jasaku, dia itu aku
yang mendidiknya.” Orang seperti ini mahu dirinya dihargai masyarakat sehingga
selalu menyebut mengenai kebaikan yang dilakukannya. Orang yang tiada
harga diri memang selalu ingin dihargai.
Semoga Allah Yang
Maha Mendengar meletakkan kita di kalangan orang-orang yang berasa dirinya
sentiasa hampir dengan Allah, dan Allah sentiasa mendengar semua
daripadanya. Terjadinya pembohongan adalah kerana orang yang membuat
pembohongan itu tidak merasakan segala percakapannya didengari oleh Allah. Kita
tidak perlu kepada kata-kata yang indah. Apa yang kita perlukan adalah
kata-kata yang dapat dipertanggungjawabkan di hadapan Allah dan manusia. Allah
menjadikan setiap kata-kata kita terpahat di hati orang yang mendengarnya.
RENUNGAN :
Subhanallah! Kekuatan
terbesar dari kata-kata adalah kata-kata yang dapat memberikan manfaat kepada
orang lain yang mendengarnya.
Mari kita renung
kata-kata ini. Percayalah, diam itu emas. Orang yang sanggup memelihara
lidahnya lebih hebat berbanding dengan orang yang suka menghamburkan kata-kata
tetapi kosong dan tiada makna. Sentiasa berusaha supaya setiap perkataan yang
kita ungkapkan benar-benar bersih daripada perkara-perkara buruk yang tiada
ertinya.
Muhasabahlah diri
kita selalu, di mana, bila dan dengan siapa kita berbicara supaya setiap
perkataan yang terucap benar-benar bernilai dan tinggi maknanya.
Di dalam hadis ada
menyatakan Nabi Muhammad SAW bersabda, “Keselamatan manusia terletak pada lisan
yang terpelihara.”
Muslim berkata,
“Sesungguhnya muslim adalah orang yang saudaranya selamat daripada gangguan
lisan dan tangannya.”
Muslim juga pernah
mengatakan, “Maka berkatalah yang baik atau berdiam sahaja.”
Allah menjelaskan di
dalam al-Quran Surah Fussilah ayat 33 yang bermaksud,
“Siapakah yang lebih
baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh
dan berkata, ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri’.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan