Jumaat, 2 November 2012

Mencintai Taubat


Oleh K.H. Abdullah Gymnastiar

Betapapun Rasulullah SAW sudah menegaskan bahawa satu kebaikan akan dilipat gandakan balasannya menjadi sepuluh kali dan satu kesalahan hanya dicatat satu. Namun, jika kita lihat hari-hari yang kita jalani sambil membuat dosa adalah lebih banyak daripada ganjaran yang kita raih. Sedangkan setiap detik yang berlalu, usia kita semakin berkurang, sedangkan dosa kian membumbung tinggi. Allah Maha Pemurah telah menyediakan taubat dengannya akan terhapus seluruh dosa-dosa sekiranya kita bertaubat dengan taubat nasuha (taubat yang sebenar-benarnya). Perintah untuk bersegera dalam bertaubat telah Allah SWT jelaskan dalam firman-Nya:

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. Iaitu, orang-orang yang menafkahkan hartanya baik di waktu lapang mahupun di waktu sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Ali-Imran : 133-134)

Demikian pula Rasulullah SAW menuntut umatnya untuk bertaubat,
“Takutlah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan susulilah keburukan dengan perbuatan kebaikan, pasti akan menghapusnya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Semakin hari, perjalanan hidup kita semakin singkat, umur kita semakin meningkat sedangkan dosa kita kian banyak. Kita bukanlah malaikat dan pasti ada peluang tergelincir. Namun, kita juga bukan syaitan, peluang untuk selamat masih terbuka lebar. Oleh kerana itu, jangan takut oleh dosa besar yang sudah terjadi, jikalau disertai dengan taubat. Setiap dosa akan diampuni selama kita benar-benar taubat, kecuali bagi mereka yang sudah terlanjur berburuk sangka atas ampunan Allah SWT. Dosa sebesar gunung, keampunan Allah SWT boleh jadi seluas langit dan bumi. Barang siapa yang merasa berlumur dan bergelumang maksiat, maka keampunan Allah SWT lebih besar lagi. Justeru orang yang tidak mahu taubat itu yang menjadi masalah. Namun jangan pula kita menganggap remeh dosa-dosa kecil. Semua perbuatan akan diperhitungkan. Sebagaimana kata sebahagian ulama’ : “Jangan lihat kecilnya dosa, tapi lihat terhadap siapa dosa itu diperbuat?”

Keampunan Allah SWT itu benar-benar melimpah. Maka taubat nasuha adalah tanda bahawa kita benar-benar telah bertaubat. Apakah taubat nasuha itu? Rasulullah SAW setiap hari paling kurang 100 kali beristighfar memohon keampunan. Padahal baginda telah dipelihara dari dosa dan dijamin akan masuk syurga. Terdapat tiga langkah dalam mengusahakan taubat nasuha, iaitu:

  • Pertama, kita harus belajar menyesali perbuatan dosa yang telah dilakukan.
Tidak diterima orang yang bertaubat jika masih merasa bangga dengan keburukan masa lalunya. Jangan sampai kita berfikir untuk mengulanginya lagi. Kita harus berfikir, mengapa hidup ini harus kita sia-siakan? Mengapa mata ini berlumur dosa? Mengapa tubuh saya bergelumang maksiat? Rasa sakit, perih penyesalan, itulah tanda-tanda taubat yang berkualiti.

  • Kedua, kita haruslah memohon keampunan secara jelas.
Misalnya dengan berdoa seperti di bawah :
Taubat mesti disertai doa keampunan yang jelas seperti doa Nabi Yunus a.s. :
Berdoa memohon keampunan Allah SWT boleh dibuat menggunakan apa jua bahasa pun, asalkan ikhlas.

  • Ketiga, mempunyai keinginan yang kuat untuk tidak mengulangi perbuatan dosa itu lagi.
Bukan sahaja perlakuan tidak mengulanginya, namun sekadar niat saja perlu disingkirkan. Jangan kita bertaubat tetapi kita juga mempunyai niat untuk mengulangi lagi. Dan seperti yang diungkapkan oleh riwayat bahawa salah satu komponen kesempurnaan taubat adalah dengan menutupinya dengan berbuat kebaikan. Kalau dulu kita pernah mengambil wang secara kurang halal, selain kita harus membersihkan diri, kita juga harus mengembalikannya pada yang berhak dan perbanyakkan sedekah. Jika pernah meminum minuman yang haram, makan makanan haram, selain dengan taubat, banyak-banyaklah sedekah. Kalau kita pernah menyakiti seseorang, selain kita perlu minta maaf, banyakkan menolong orang, mendoakan kebaikan orang dan berhati-hatilah agar tidak menyakiti lagi.

Sebusuk-busuk dosa adalah orang yang tidak mahu bertaubat. Jangan meremehkan orang yang pernah berdosa dan kemudiannya bertaubat kerana siapa tahu taubatnya lebih bagus daripada taubat kita yang merasakan sudah banyak beramal. Kalau ada seseorang yang menjerit dalam hati memohon keampunan kepada Allah SWT, berderai airmata kerana dia berlumur dosa, jangan kita remehkan kerana siapa tahu taubatnya itu akan diampuni, berserta dosa-dosanya yang lain. Ciri taubat seseorang diterima adalah terjadinya perubahan pada diri setelah dia bertaubat. Orang yang berubah menjadi semakin baik, dia mendapatkan taufiq dari Allah SWT. Orang yang bertaubat akan senang mencari ilmu. Dia sering menghadiri majlis ta’alim, melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat menambahkan keimanannya kepada Allah SWT. Ciri kedua, dia makin senang berbuat kebaikan. Solatnya menjadi semakin baik, makin menepati waktu solat, senang berjemaah, sedekahnya kian melimpah.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran,

Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh di jalan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami kepada mereka. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Ankabut : 69)

Orang yang taubatnya baik, maka akhlaknya pun akan makin baik, semakin dermawan serta jelas peningkatan pada pekertinya. Kita disuruh untuk bersegera memohon keampunan dan memperbanyakkan istighfar pada Allah SWT atas dosa yang telah kita lakukan kerana orang yang banyak istighfar itu Insya’ Allah batinnya akan lebih tenteram, akan selalu ada jalan keluar bagi segala permasalahan yang dihadapinya dan Allah SWT akan mewariskan rezeki dari tempat yang tidak diduga-duga. Makin banyak kita bertaubat, Insya’ Allah kita akan semakin bersedia untuk pulang kepada-Nya. Jangan kita melambat-lambatkan perbuatan taubat, walaupun pada anak sendiri. Waktu terbaik adalah sepertiga malam menjelang Subuh. Menjelang waktu Maghrib dari Asar, sewaktu ibadah haji ataupun ketika bulan Ramadan. Beristighfarlah terus, baik sambil berjalan, duduk atau sambil berbaring.

Jika kita bertaubat, lalu tergelincir lagi dan bertaubat lagi dan tergelincir lagi sampai kita bosan taubat, Allah SWT tidak akan pernah bosan untuk menerima taubat kita. Yang penting, kita tidak boleh merancangnya. Kerana kalau sudah dirancang, tidak dikira sebagai taubat kerana merancang taubat beerti merancang berbuat dosa sebelumnya. Perbanyakkanlah taubat! Gunakanlah salah satu cara yang efektif. Mulailah dengan menghitung dosa kita kepada Allah SWT, kepada orang tua, kepada orang-orang sekeliling kita dan sebagainya. Lalu kita terus memohon keampunan di atas semua dosa-dosa kita itu. Dan lakukanlah ia secara berterusan agar apabila tiba saat nanti kita dipanggil oleh-Nya kita telah bersiap sedia. Orang yang sering beristighfar seperti sebingkai cermin. Cermin, jika dibersihkan terus menerus akan berkilat. Dengan itu, dia dapat bercermin dan orang lain juga dapat menggunakannya. Semakin bersih diri kita, Insya’ Allah kita akan menjadi contoh tauladan bagi orang yang meniru kita dan Insya’ Allah ganjarannya pun adalah untuk kita sendiri juga. (Aamin ya Allah)

Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan