Ahad, 26 Ogos 2012

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR


Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih.

Jawapan;

Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar, selepas itu saudara mengerjakan pula solat qadha asar atau solat-solat lain yang tertinggal. Menyegerakan solat fardhu yang tertinggal adalah amat dituntut.

Wallahu a'lam.

REZEKI HARAM; ADAKAH DARI ALLAH?


Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Saya ada pertanyaan Adakah rezeki yang diperoleh secara haram seperti ragut, rompak, rasuah dan sbg datang dari Allah s.w.t?

Jawapan;

Rezki, perbuatan, ucapan dan segala tindak-tanduk yang lahir dari manusia semuanya tidak terlepas dari takdir (ketentuan Allah) kerana tidak ada yang berlaku di alam ini melainkan dengan kehendak Allah dan diketahui oleh Allah sejak azali lagi. Namun tidak semua yang dikehendaki Allah atau ditakdirkannya turut diredhaiNya. Apabila seorang melakukan dosa, perbuatan dosanya itu berlaku dengan kehendak Allah, namun Allah tidak meredhainya, cuma Allah membenarkan/mengizinkan sahaja ia berlaku (setelah ia memberi hak ikhtiar (kuasa memilih) kepada mereka untuk menguji mereka setelah diberiNya akal dan petunjuk agama). Sebaliknya pula, apabila seseorang melakukan ketaatan, perbuatan taatnya itu berlaku dengan kehendak Allah dan turut diredhaiNya. Seorang gagal ujian dan seorang lagi lulus ujian. Persoalan rezki pun sama seperti itu.

Sabda Nabi –sallalahu ‘alaihi wasallam-; “Ruh al-Qudus (Jibril) telah meniupkan wahyu ke dalam hatiku; Sesungguhnya seorang manusia itu sekali-kali tidak akan mati hinggalah sempurna ajalnya dan meliputi semua rezkinya (yang ditentukan untuknya), maka bertakwalah kepada Allah dan perelokkanlah mata pencarian kamu. Janganlah perasaan lambatnya datang rezki memaksa kamu mencarinya dengan jalan melakukan maksiat kepada Allah kerana apa yang ada di sisi Allah tidak akan diperolehi melainkan dengan mentaatiNya” (HR Imam Abu Nu’aim dari Abu Umamah. Lihat hadis ini dalam; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 3848. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh).

Berkata Imam al-Munawi –menjelaskan hadis di atas-; Hadis ini menunjukkan bahawa rezki telah ditentukan dan telah diagihkan dan ia pasti akan sampai kepada hamba Allah (mengikut kadar yang ditentukan). Jika seorang hamba Allah itu berusaha mencarinya dengan cara yang disyariatkan, rezki itu akan menjadi rezki yang halal, namun jika ia mencarinya dengan cara yang tidak disyariatkan, ia akan menjadi rezki yang haram. Hadis ini menjadi dalil yang cukup jelas bagi Ahlus-Sunnah yang berpandangan; yang haram juga dinamakan sebagai rezki dan kesemua rezki –sama ada yang halal atau yang haram- datangnya dari Allah. (Faidhul-Qadier)

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Faidhul-Qadier, Imam an-Munawi, hadis no. 3848.

WANITA HAID DAN AKAD NIKAH DALAM MASJID


Soalan; Assalamualaikum ustaz, Soalan: Saya ingin menghadiri pernikahan adik perempuan saya yang akan diadakan dimasjid tetapi saya khuatir ketika tu saya mungkin dalam keadaan haid. Begitu juga keadaan adik saya yang bakal menjadi pengantin itu. Adakah kita dilarang untuk memasuki masjid jika niat kita untuk menyelesaikan pernikahaan sahaja.

Jawapan;

Menurut jumhur/majoriti ulamak (termasuk Imam-Imam mazhab empat); Wanita yang sedang haid dilarang duduk di dalam masjid berdalilkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesungguhnya tidak halal (yakni tidak harus) masjid bagi wanita haid dan orang berjunub” (Riwayat Imam al-Baihaqi, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.). Kawasan yang dilarang itu ialah kawasan yang dikhaskan untuk tempat solat. Adapun di ruang yang bukan tempat solat (seperti di dewan masjid, ruang pejabat, kemah di luar bangunan masjid dan sebagainya), tidaklah dilarang.

Namun menurut sebahagian ulamak (antaranya Imam al-Muzani, Daud az-Zahiri dan Ibnu al-Munzir); Tidak dilarang wanita haid duduk di dalam masjid kerana tidak ada dalil yang benar-benar kuat yang menjadi hujah bagi larangan tersebut. Adapun hadis di atas, menurut mereka; ia adalah dhaif sebagaimana ditegaskan oleh Imam al-Khattabi; “Hadis tersebut telah didhaifkan oleh sekumpulan ulamak hadis” (lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Apabila tidak ada dalil yang kuat (bagi larangan tersebut), maka ia kembali kepada hukum asal iaitu harus.

Pandangan yang diamalkan ialah yang pertama. Walaupun bersandar kepada hadis dhaif, namun hadis dhaif apabila diamalkan oleh Imam-Imam mujtahid menunjukkan hadis itu tsabit. Selain itu, dengan berpegang dengan pendapat itu kita mengelak dari pertikaian.

Tambahan;

1. Mengenai hukum berakad nikah dalam masjid; jumhur ulamak menggalakkannya kerana mengharapkan barakah. Tetapi hendaklah menjaga adab-adab ketika dalam masjid dan tidak melakukan perkara yang merosakkan kehormatan masjid termasuk pakaian pengantin dan solekan mereka. Kerana itu –untuk mengelak berlaku perkara tersebut- ulamak-ulamak mazhab Maliki hanya mengharuskan sekadar ijab dan qabul sahaja di dalam masjid, tidak harus berbuat bising, menguatkan suara, percakapan yang banyak dan seumpamanya kerana ia tidak sesuai dengan kemuliaan masjid. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nisa’, ayat 43.
2. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan “Masjid”.

SUAMI DAN FACEBOOK ISTERI


Soalan; Salam ustaz, Saya seorang suami. Saya amat berbesar hati sekiranya ustaz dapat memberikan saya jawapan dan penjelasan atas soalan-soalan saya dibawah: -
1. Sekiranya seorang isteri mempunyai akaun jaringan sosial seperti facebook, yahoo messenger, email peribadi dan seumpamanya, patutkah seorang isteri tersebut memberikan akses kepada akaun akaun tersebut kepada suaminya agar dapat berkongsi sama melihat kandungan, rakan, gamabr, nota, korespondences yang terdapat di dalamnya?
2. Haruskah seorang isteri berkongsi alamat email peribadi kepada lelaki lain yang bukan muhrim walaupun atas dasar berkawan?
3. Haruskah seorang isteri menerima tawaran atau panggilan untuk mejadi kawan/sahabat dari lelaki yang bukan muhrim melalui jaringan social atau email seperti diatas?
4. Salahkah seorang suami meminta seorang isteri meberitahu suaminya sekiranya si isteri ada menerima panggilan atau tawaran dari lelaki lain untuk menjadi sahabat atau rakan dari jaringan social atau email?
5. Sekiranya si isteri tidak bersetuju dengan nasihat dan pandangan suami atas perkara-perkara diatas, apakah yang patut dilakukan oleh si suami?
6. Adakah seorang suami itu bersikap terlalu cemburu kepada isterinya sekiranya si suami berpandangan sedemikian?
Wassalam

Jawapan;

1. Wajib suami menjaga ahli keluarga (isteri dan anak-anak) dari perkara yang boleh memabawa mereka kepada dosa yang akhirnya membawa ke neraka. Firman Allah; “Wahai orang-orang beriman, selamatkanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka” (Surah at-Tahrim, ayat 6). Di antara yang dipesan oleh Rasululllah ialah berhati-hati dalam memilih kawan sebagaimana sabda baginda ; “Seseorang itu berada di atas agama kawannya, maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa dia berkawan” (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan). Facebook adalah jaringan kawan-kawan dan kenalan, maka suami mempunyai hak untuk memantau dengan siapa isteri dan anak-anaknya berhubungan demi membolehkannya melaksanakan kehendak ayat dan hadis tadi.

2. Suami tidak boleh terlalu menyekat isteri dari bergaul dengan orang sekeliling terutama berhubungan dengan keluarga dan rakan-rakan wanita yang solehah. Namun suami wajib menegah isteri dari terlibat dengan hubungan yang dilarang agama seperti hubungan dengan lelaki yang bukan mahram tanpa ada keperluan, bergaul denagn wanita-wanita fasik (yang tidak menjaga agama), bertandang ke tempat maksiat atau yang mendorong kepada maksiat. Suami mempunyai hak untuk menegah isteri dari terlibat dalam pergaulan sedemikian dan ia termasuk dalam kewajipan mencegah munkar (atau menutup ruang kepada mungkar) dengan kuasa yang dimiliki. Sabda Nabi; “Sesiapa dari kamu melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, dengan lidah. Jika tidak mampu, dengan hati dan ia adalah selemah-lemah iman” (HR Imam Muslim dari Abi Sa’id al-Khudri). Menurut ulamak; antara maksud mencegah dengan tangan ialah menggunakan kuasa yang ada untuk mengubah kemungkaran. Dinisbah kepada keluarga, bapa atau suami adalah orang yang berkuasa ke atas ahli-ahli keluarga.

3. Syariat Islam amat mengambil berat hubungan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (yakni yang tiada hubungan mahram atau hubungan suami-isteri) di mana ia menyempitkan hubungan dan pergaulan antara keduanya hanya kepada keperluan sahaja (bukan kebebasan). Ini kerana kebebasan akan mendorong kepada zina. Ini sebagaimana kata Nabi; “Tidak berduaan seorang lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi orang ketiga” (HR Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Umar). Jadi, apabila seorang lelaki dan wanita bebas berhubung dan bercating, syaitan akan membisikkan kepada setiap mereka dan menimbulkan ghairah dan seronok, lalu ingin bertemu dan akhirnya terjerumuslah ke dalam maksiat sekalipun telah bersuami. Kejadian ini tidaklah asing lagi hari ini.

4. Islam tidaklah menyekat kebebasan umatnya, namun Islam memberi peringatan; kebebasan yang terlalu luas akan menjahanamkan. Oleh itu suami perlu mengimbangi kehidupan keluarganya antara kebebasan dan sekatan. Jangan memberi kebebasan tanpa batasan dan jangan pula terlalu mengongkong. Terbaik ialah pertengahan. Suami boleh membenarkan, tetapi pada masa yang sama perlu bertegas dalam perkara tertentu. Sebagai contoh, bila isteri minta nak berlaman sosial, suami menjawab; “Boleh, tetapi saya hanya benarkan dengan wanita sahaja dan jika lelaki, saya hanya benarkan dengan keluarga sahaja”.

5. Sikap cemburu suami jika berasas, itu adalah tanda iman. Namun cemburu tanpa berasas, itu adalah tanda penyakit hati. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Cemburu ada dua; satunya disukai Allah dan satu lagi dibenci Allah. Cemburu jika berpunca dari keraguan/kegusaran, ia disukai Allah. Namun jika tidak datang dari sebarang keraguan, ia dibenci Allah” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Hakim dari ‘Uqbah bin ‘Amir. Menurut as-Suyuti; hadis ini soleh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5783). Menurut ulamak; maksud cermburu tanpa keraguan ialah cemburu buta, yang timbul dalam hati tanpa sebarang sebab iaitu semata-mata buruk sangka dari suami terhadap isteri atau dari isteri terhadap suami (Faidhul-Qadier).

Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; “Tidak akan masuk syurga lelaki yang dayus” (HR Imam at-Tayalisi dari ‘Ammar). Maksud dayus ialah; lelaki yang hilang perasaan cemburu terhadap nilai dirinya di mana ia tidak kesah siapa lelaki yang bersama dengan isteri atau anak perempuannya, dengan siapa mereka keluar dan ia tidak mengambil berat akhlak dan tingkah laku mereka (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah). Sabda Nabi juga; “Tiga manusia akan diharamkan Allah dari Syurga;
1. Orang yang ketagih arak
2. Orang yang menderhakai dua ibu-bapanya
3. Lelaki yang dayus, iaitu yang berdiam diri atau menyetujui perbuatan zina yang di kalangan ahli keluarganya.
(HR Imam Ahmad dari Ibnu ‘Umar. Hadis Soheh. Al-Jami’ as-Saghier, no. 3503)

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Faidhul-Qadier, Imam an-Minawi, Syarah hadis no. 5783.
2. Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 10/172.
3. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abd Rahman al-Jazairi, juz. 5.

KEPADA SIAPA PEMINANGAN HENDAK DITUJUKAN?


Soalan; salam ustaz..saya mempunyai beberapa soalan..harap ustaz dpt membantu..
1) saya pernah mendapat artikel dari facebook dan terdengar dari mulut kawan-kawan..adakah benar bahawa lelaki dan perempuan ini telahpun bertunang secara tidak rasmi apabila lelaki menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada perempuan yang disukai..lelaki itu baru menyatakan hasrat tetapi belum pun berjumpa dengan kedua ibu bapa perempuan itu..adakah dianggap bertunang?

Jawapan;

Bagi wanita yang masih dara dan ia memupunyai wali mujbir (iaitu bapa atau datuk), penyataan hasrat untuk mengahwininya (iaitu peminangan) hendaklah dibuat kepada waji mujbirnya itu, yakni kepada bapanya atau datuknya (jika bapa tiada). Apabila wali mujbir itu menerima  barulah di antara mereka berdua (yakni gadis dan lelaki yang meminangnya) dikatakan mempunyai ikatan pertunangan. Adapun wanita janda atau wanita yang masih dara tetapi tidak mempunyai wali mujbir, peminangan boleh dibuat kepada dirinya sendiri atau kepada walinya namun hendaklah dengan persetujuannya. Ini kerana wanita yang telah menjadi janda, walinya tidak berhak mengahwinkannya kecuali dengan persetujuannya. Begitu juga dengan wanita dara yang tidak mempunyai wali mujbir (yakni wali yang ada adalah selain bapa dan datuk, iaitu abang, bapa saudara dan sebagainya), wali bukan mujbir itu tidak berhak mengahwininya tanpa persetujuannya. Berbeza dengan wanita dara yang mempunyai wali mujbir (bapa atau datuk), wali mujbirnya berhak mengahwinkannya sekalipun tanpa persetujuannya. Kerana itu, peminangan hendaklah dilakukan kepada wali mujbir, bukan kepada wanita itu. Maka jika seorang lelaki melamar seorang wanita yang masih dara, sekalipun wanita itu bersetuju menerimanya tidaklah persetujuan itu dianggap pertunangan sehinggalah wali mujbirnya turut sama bersetuju.

Wallahu a'lam.

Nota;

1. Implikasi pertunangan dari segi hukum ialah larangan pinangan atas pinangan sebagaimana ditegaskan oleh Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam-; "Jangan sebahagian kamu meminang atas pinangan saudaranya" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar). Berdasarkan hadis ini, para ulamak menyimpulkan; diharamkan seorang lelaki meminang seorang wanita yang diketahui telah dipinang oleh orang lain dan pinangannya telah diterima, dalam erti lain; telah ada ikatan pertuangan antara lelaki dan wanita tersebut. Menurut Imam an-Nawawi; para ulamak sepakat (ijmak) bahawa diharamkan pinangan atas pinangan ialah jika pihak wanita telah memberi jawapan terima dan lelaki yang meminang dulu tidak mengizinkannya dan tidak meninggalkan wanita yang dipinangnya. Jika jawapan belum diberikan (yakni belum ada sebarang ikatan pertunangan) tidaklah diharamkan orang lain masuk meminang? Maka, timbul persoalan; jawapan siapa yang hendak dipakai atau dikira, jawapan dari wanita itu sendirikah atau dari walinya? Imam an-Nawawi menjawab; "Jawapan yang diambil kira ialah dari jawapan wali dan persetujuannya jika wanita adalah mujbarah (yakni yang boleh dikahwinkan oleh wali mujbir (iaitu bapa atau datuk) tanpa persetujuannya, iaitulah wanita yang masih dara). Jika wanita itu bukan mujbar (yakni yang tidak diboleh dikahwinkan tanpa persetujuannya, iaitulah janda atau wanita dara yang tiada lagi wali mujbir), yang diambil kira ialah jawapannya dan persetujuannya. Bagi wanita hamba, yang diambil kira ialah jawapan dan persetujuan tuannya. Bagi wanita yang gila pula, yang diambil kira ialah jawapan dan persetujuan sultan" (Raudhatu at-Thalibin, kitab an-Nikah, bab Muqaddimaat al-Nikah. Rujuk juga; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).

Rujukan;
1. Mughni al-Muhtaj, 3/177, Kitab an-Nikah.
2. Az-Zawaj, Dr. Muhammad Ibrahim al- Hafnawi, hlm. 68-86.
3. Al-Mausuah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, perkataan; Khitbah.
4. Takmilah al-Majmu', Dr. Mahmud al-Matraji, 17/327.

KADAR NAFKAH SUAMI KEPADA ISTERI


Soalan; Assalamualaikum..Saya ingin bertanya.Apakah maksud terperinci nafkah suami kepada isterinya? Adakah kerana dia telah membeli barangan keperluan seperti makanan sudah cukup dinamakan nafkah? Adakah salah jika isteri meminta wang kepada suaminya untuk dirinya sendiri sedangkan suaminya tidak pernah memberi wang,asalannya dia telah membeli barangan keperluan semua. Adakah wajib suami memberi keluarga mertua sedikit sumbangan seperti wang ringgit atau sebagainya?Dan apakah hukumnya jikalau keperluan yang dibeli oleh si suami menjadi ungkitannya semula.Disini saya terlalu musykil, harap dapatlah memberi penjelasan.
Sekian terima kasih...

Jawapan;

Wajib suami memberi nafkah[1] kepada isteri mengikut kemampuannya dan juga dengan meraikan keperluan isteri. Firman Allah (bermaksud); "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan" (Surah at-Thalaq, ayat 7).

Di dalam hadis yang menceritakan Hindun (isteri Abu Sufyan) yang mengadu kepada Rasulullah tentang suaminya (Abu Sufyan) yang kedekut (tidak memberi belanja yang mencukupi untuk isteri dan anaknya), Rasulullah berkata kepada Hindun; "Kamu ambillah dari hartanya kadar yang mencukupi untuk kamu dan anak kamu mengikut kebiasaannya"[2] (HR al-Jamaah kecuali Imam at-Tirmizi. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar, Kitab an-Nafaqaat, bab al-Mar,ah Tunfiqu Min Mali az-Zauji min Ghair 'ilmihi...). Hadis ini menunjukkan bahawa keperluan isteri juga diambil kira dalam kewajipan memberi nafkah kerana Nabi menyebutkan "ambillah kadar yang mencukupi". Kecualilah jika suami miskin, maka ia dituntut memberi nafkah mengikut kemampuannya dan isteri hendaklah redha dengan keadaan suami dan berpada dengan apa yang diberikan.

Ada ulamak menetapkan kadar tetap harian bagi nafkah yang wajib disempurnakan oleh suami untuk isterinya. Antaranya Imam Syafiie yang menetapkan; jika suami kaya; ia hendaklah memberikan 2 cupak sehari untuk makanan isterinya, suami sederhana; 1 1/2 cupak dan suami miskin; 1 cupak. Adapun jumhur (majoriti) ulamak, mereka tidaklah menentukan kadar tetap, akan tetapi dirujuk kepada kemampuan suami dan juga keperluan isteri.[3] Kemampuan suami boleh berubah, begitu juga keperluan isteri. Pada ketika suami melihat keadaanya lebih senang, ia hendaklah melebihkan sedikit belanjanya untuk isteri dan isteri pula berhak menuntut peruntukan yang lebih. Begitu juga jika keperluan isteri bertambah kerana sesuatu sebab, pertambahan itu juga perlu berada dalam penilaian suami jika ia mampu meraikannya. Di dalam al-Quran, Allah amat menekan para suami agar melayani isteri dengan baik untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga. Firman Allah (bermaksud); "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik" (Surah an-Nisa', ayat 19).

Mungkin kita boleh meletakkan tahap-tahap bagi perbelanjaan dengan merujuk kepada tahap-tahap maslahah manusia yang diputuskan ulamak iaitu tiga peringkat;
Pertama; (tahap keperluan paling atas); iaitu keperluan daruriyat.
Kedua; keperluan hajiyat.
Ketiga; keperluan tahsiniyat.

Keperluan daruriyat ialah yang boleh menyebabkan kerosakan hidup jika tidak diberikan. Ini merangkumi makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal yang asas. termasuk juga keperluan ilmu khususnya ilmu agama kerana tanpanya akan rosak kehidupan di akhirat. Keperluan hajiyat ialah yang bawah dari daruriyat, iaitu yang jika tidak ada tidaklah membawa kerosakan hidup, tetapi membawa kepada kehidupan yang susah, sukar dan menderita. Contohnya; perabot-perabot rumah yang asas, peralatan dapur, pakaian yang lebih sedikit dari keperluan daruriyat tadi dan sebagainya. keperluan Tahsiniyat ialah yang jika tidak ada tidaklah membawa kerosakan dan tidak juga membawa kesusahan hidup, cuma kewujudannya boleh menambah keselesaan hidup.

Balik kepada soalan yang ditanya, jika suami puan miskin, puan hendaklah berpada dengan apa yang diberinya untuk keperluan pertama (daruriyat) atau keperluan kedua (hajiyat). Jika suami puan berada, bolehlah puan meminta lebih dari itu. Suami pula hendaklah meraikan isteri jika ia mampu demi mengekalkan keharmonian rumah tangga. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda (bermaksud); "Allah mengasihi seorang lelaki yang bertolak ansur bila menjual, bila membeli dan bila menuntut (hutangnya)" (HR Imam al-Bukhari dari Jabir). Dalam riwayat lain; "...bertolak ansur ketika membayar hutang dan menuntut hutan" (HR Imam at-Thabrani dari Jabir). Walaupu hadis ini menyentuh jual-beli dan hutang-piutang, tetapi ruh tolak ansur yang disarankan Nabi tidak ada salahnya untuk kita amalkan di mana-mana sahaja dalam kehidupan terutamanya dalam perkongsian hidup suami isteri. Maksudnya, suami bertolak ansur dalam melayani permintaan isteri dan isteri pula bertolak ansur dalam menuntut haknya.

Mengenai pemberian kepada mertua, tidaklah wajib suami memberi nafkah atau belanja untuk mertua sekalipun mertua miskin, kecualilah atas ihsan darinya sahaja. Jika ia mampu, eloklah ia memberinya kerana itu juga boleh mengukuhkan lagi kasih-sayang dengan isteri. Mertua yang miskin dan tidak mampu berkerja, ia wajib dinafkahi oleh keluarganya sendiri (iaitu bapa atau anak-anaknya), bukan menantunya. Jika mertua terpaksa bergantung hidup dengan anak perempuannya yang telah berkahwin, suami hendaklah memberi izin kepada isteri untuk menziarahi dan berkhidmat kepada ibu-bapanya (tanpa menjejaskan hak suami) dan begitu juga untuk menafkahi mereka. Jika ia tidak memberi izin tanpa sebab yang munasabah, ia berdosa dan jika isteri melanggarnya sebahagian ulamak berpandangan isteri tidak dikira nusyuz ketika itu. Adalah harus isteri memberi belanja dari duitnya sendiri kepada ibu-bapanya sekalipun tanpa izin suami, namun eloklah ia meminta izin sebagai tanda menghormati suami. Jika suami menghalang tanpa sebab, tidak dikira nusyuz jika isteri melanggarinya.

Mengenai suami mengungkit pemberiannya kepada isteri, jika dengan niat yang baik seperti untuk memperingatkan isteri supaya taat kepadanya kerana ia telah pun melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami (iaitu memberi nafkah mengikut yang termampu) supaya isteri membalasnya dengan melaksanakan tanggungjawabnya pula (iaitu taat dan melayani suami), ungkitan sebegitu tidaklah dilarang, malah ada ketikanya perlu dilakukan. Adapun jika ungkitan semata-mata untuk menyakiti hati isteri, tidaklah harus dilakukan kerana ia menyalahi pergaulan yang yang disuruh oleh Allah dalam ayat tadi.

Wallahu a'lam.

Nota;

[1] Memberi nafkah bermaksud mencukupkan keperluan hidup merangkumi makanan, pakaian dan keperluan-keperluan lain (at-Tahwir wa an-Tanwir).
[2] Lafaz bahasa Arabnya ialah "Bil-Ma'ruf", al-makruf bermaksud; mengikut kebiasaan masyarakat setempat iaitu berdasarkan pengamalan yang diterima oleh orang ramai di sesuatu tempat selama ia tidak bercanggah dengan ketetapan Syariat (at-Tahwir wa an-Tanwir).
[3] Sebenarnya terdapat tiga pandangan ulamak dalam menetapkan ukuran yang hendak dipakai bagi menentukan kadar nafkah yang sewajarnya bagi isteri;
A) Pandangan pertama; hendaklah dilihat kepada keadaan suami (kaya, miskin atau sederhana). Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafiie dengan berdalilkan ayat di atas.
B) Pandangan kedua; dengan melihat keperluan isteri. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik dengan berdalilkan hadis Hindun di atas.
C) Pandangan ketiga; dengan mengambil kira kedua-dua sekali iaitu keadaan suami dan juga keperluan isteri. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Ahmad berdalilkan ayat dan juga hadis di atas iaitu dengan memadankan kedua-duanya. Pandangan inilah yang kita pilih di atas kerana ia meraikan kedua-dua dalil di atas.
(al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, juzuk 8, kitab an-Nafaqaat).      

Rujukan;

1. Tafsir al-Qurtubi, Surah at-Talaq, ayat 7.
2. At-Tahwir wa at-Tanwir, Syeikh Muhammad at-Tahir ibnu Asyur, Surah at-Talaq, ayat 7.
3. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, juzuk 8, kitab an-Nafaqaat.
4. Nailul-Autar, Kitab an-Nafaqaat, bab al-Mar,ah Tunfiqu Min Mali az-Zauji min Ghair 'ilmihi..

BEZA DARA/GADIS DAN JANDA


Soalan; saya nak tanya. Saya pernah dengar bahawa keputusan anak perempuan yang masih dara ingin kawin adalah di keputusan org tua nya. Bagaimana jika anak perempuan itu telah menjadi janda dan bukan bukan lagi dara. Jika ia pernah melakukan zina atau ayat lain beliau bukan dara/gadis lagi, adakah orang tuanya masih boleh memberi keputusan utk kawin atau tidak mengikut pandangan agama? Maksudnya; adakah gadis yg bukan lagi dara itu sama status dengan janda dari soal memberi keputusan kawin?

Jawapan;

Secara amnya, disyariatkan meminta izin wanita untuk menjalankan akad perkahwinan ke atasnya. Cuma ulamak berbeza pandangan jika yang hendak dikahwinkan itu adalah gadis/dara; adakah meminta izinnya itu wajib atau sunat sahaja (jika yang menjadi walinya adalah bapa atau datuknya)? Menurut mazhab Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad; meminta izinnya itu sunat sahaja, yakni jika bapa atau datuknya mengahwinkannya dengan lelaki pilihan mereka tanpa persetujuannya, perkahwinan itu adalah sah. Mazhab Abu Hanifah pula berpendapat; wajib meminta keizinannya, jika tidak maka perkahwinan tidak sah. Adapun janda, tiada khilaf di kalangan ulamak bahawa wajib diminta keizinannya. Jika akad berlaku tanpa keizinannya, maka perkahwinan tidak sah. Bagi gadis, tanda keizinannya memadai dengan diamnya. Adapun bagi janda, tidak memadai dengan diamnya sahaja akan tetapi wajib dengan pengakuan mulut darinya. Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w.; “Tidak dikahwinkan wanita janda kecuali dengan meminta arahannya dan tidak dikahwinkan gadis kecuali dengan meminta keizinannya”. Sahabat bertanya; “Ya Rasulullah! Bagaimana yang dikatakan keizinannya?”. Baginda menjawab; “Dengan diamnya” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

Dari keterangan di atas kita dapat melihat ada perbezaan hukum antara gadis dan janda dalam masalah berkaitan. Bagaimana untuk menentukan seorang wanita itu gadis atau janda mengikut hukum Syarak? Dalam kitab al-Mughni (Imam Ibnu Qudamah), dijelaskan seperti berikut;[1]
1. Menurut mazhab Imam Ahmad dan Syafi’ie; Janda ialah wanita yang telah disetubuhi di farajnya sama ada dengan persetubuhan yang halal atau yang haram. Namun Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat; wanita yang disetubuhi secara tidak halal, hukumnya masih hukum wanita gadis.
3. Jika selaput dara hilang kerana sebab lain dari jimak seperti kerana terjatuh, darah haid terlalu banyak atau kerana tusukan jari, kayu dan sebagainya maka hukumnya masih hukum dara/gadis.
4. Jika seorang wanita disetubuhi di duburnya, statusnya tidak berubah menjadi janda dan tidak tertakluk dengan hukum wanita janda kerana persetubuhan tidak berlaku pada farajnya.

Dalam kitab Kifayatul-Akhyar (kitab Fiqh mazhab Syafi’ie), pengarangnya menjelaskan; “Janda ialah wanita yang telah hilang selaput daranya melalui persetubuhan sama ada persetubuhan yang halal atau yang syubhah atau zina. Adapun jika hilang kerana terjatuh atau menusuknya dengan jari atau kerana kuatnya darah haid atau kerana lama membujang (tidak berkahwin), maka mengikut pandangan yang soheh; hukumnya masih seperti dara/gadis. Jika hilang selaput daranya kerana persetubuhan yang dipaksa atau disetubuhi ketika tidur atau wanita gila (yang disetubuhi), maka hukumnya seperti janda mengikut pandangan yang terkuat. Ada juga pandangan berkata; hukumnya masih seperti gadis. Jika seorang wanita dijadikan tanpa selaput dara, ia masih dianggap dara/gadis”.[2]

Merujuk kepada soalan saudara dapat kita simpulkan bahawa; mengikut pandangan mazhab Imam Ahmad dan Syafie; wanita yang pernah berzina, ia tidak lagi dianggap gadis. Maka kedudukannya sama seperti janda dalam masalah di atas iaitu wajib diminta keizinannya secara pengakuan mulut sebelum mengahwinkannya. Adapun mengikut pandangan mazhab Hanafi dan Maliki; ia masih lagi gadis kerana persetubuhan yang berlaku kepadanya bukanlah persetubuhan yang halal (yakni bukan persetubuhan melalui akad perkahwinan yang sah).

Walahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah.
2. Kifayatul-Akhyar, Syeikh Taqiuddin al-Hisni.
3. Al-Fiqh al-Muyassar, Syeikh Ahmad ‘Isa ‘Asyur.
4. Fiqh al-Usrah al-Muslimah, Syeikh Hasan Ayyub.

Nota kaki;

[1] Al-Mughni, 6/346.
[2] Hlm. 361-362.